Powered By Blogger

Selamat Datang Bulan Ramadhan

Ramadan dipenuhi keberkatan, kebaikan

DALAM satu pidato ketika menyambut kedatangan bulan suci Ramadan, Rasulullah menyebut Ramadan sebagai bulan agung dan penuh berkat.

Ini kerana keagungan dan keberkatan yang menghiasi bulan itu, maka Ramadan selalu dinanti-nantikan kehadirannya oleh setiap Muslim. Perkataan berkat itu membawa erti kebaikan dan kebajikan yang melimpah.

Menurut seorang ulama tafsir terkenal, Al-Asfihani, sesuatu disebut berkat apabila di dalamnya terkandung kebaikan dan kebajikan yang amat banyak.

Contohnya, air hujan disebut Allah dalam al-Quran sebagai sesuatu yang mendatangkan kebaikan yang melimpah-ruah kerana dapat menyuburkan tanah dan menumbuhkan pelbagai tanaman yang amat berguna kepada manusia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan juga Kami menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai, serta pohon kurma yang tinggi menjulang yang mengeluarkan mayang berlapis-lapis, lagi hebat putiknya; (Semuanya itu) itu sebagai rezeki bagi hamba Kami.

“Dan lagi Kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati; demikianlah pula keadaan keluarnya (orang yang mati dari kubur selepas dibangkitkan hidup kelak).” (al-Qaf: 9-11)

Keberkatan, menurut Syeikh Rashid Redha, ada dua jenis. Pertama, keberkatan bersifat fizikal seperti air hujan, rezeki, kesihatan jasmani dan kenikmatan lain yang memberikan kebahagiaan kepada manusia.

Kedua ialah keberkatan yang tidak bersifat fizikal seperti turunnya wahyu, institusi serta ketenangan jiwa yang dapat memandu manusia ke arah kesempurnaan dan kesejahteraan abadi. Keberkatan kedua inilah yang menghiasi serinya Ramadan.

Dari sini, satu lagi keberkatan yang menyerikan lagi fadilat Ramadan ialah turunnya al-Quran.

Al-Quran itu sendiri disebut Allah sebagai kitab yang di dalamnya terkandung peringatan dan keberkatannya sebagaimana firman Allah bermaksud: Dan al-Quran ini juga pengajarannya yang berkat, yang Kami turunkan (kepada Nabi Muhammad); dengan keadaan yang demikian, maka patutkah kamu mengingkarinya? (al-Anbia: 50)

Apa yang lebih istimewa ialah malam yang mana al-Quran diturunkan disebut oleh Allah sebagai malam yang diberkati, lailatin mubarakah sebagaimana firman-Nya bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat: (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba Kami ditimpa azab). (al-Dukhan: 3)

Bertitik tolak dari sini, Ramadan sungguh diberkati dan mengandungi pelbagai keberkatan dan keistimewaan yang tidak terhingga banyaknya.

Dalam bulan ini, Allah banyak menurunkan rahmat, memberikan pengampunan dan menyediakan jaminan pembebasan manusia daripada api neraka.

Tidak cukup dengan itu, Allah menutup pintu neraka, membelenggu pergerakan syaitan dan membuka seluas-luasnya pintu syurga.

Apa yang lebih menarik lagi ialah Allah melipatgandakan ganjaran pahala segala ibadah dan amal soleh sehingga beratus-ratus dan beribu-ribu ganda kecuali ibadat puasa yang hanya menjadi perhitungan rahsia di sisi Allah.

Selanjutnya, Allah membuka pintu kemaafan dan keampunan seluas-luasnya sebagaimana maksud sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan keredaan Allah, maka Allah akan mengampuni seluruh dosanya seumpama dia baru lahir dari rahim ibunya.” (Riwayat Ahmad)

Demikianlah Allah mengagungkan Ramadan. Berdasarkan kepada keistimewaan dan keberkatan yang hadir bersama Ramadan, secara jelas mengisyaratkan betapa Allah menyeru umat Islam supaya merebut kelebihan yang disediakan Allah sepanjang bulan mulia itu.

Tentunya dengan lebih banyak melakukan amal soleh selain ibadat puasa itu sendiri seperti solat tarawih, tadarus al-Quran, iktikaf, bersedekah dan berdoa.

Ringkasnya, hadirnya Ramadan mengundang seribu satu kesempatan bagi orang beriman untuk beramal ibadat di samping bertafakur dan bermuhasabah diri.

Amalan muhasabah diri akan mencetuskan kesedaran dan keinsafan yang cukup bermakna untuk memperbetulkan kesilapan lalu dan sekali gus meningkatkan mutu sesuatu amalan ibadat kepada Allah.

Alangkah ruginya jika seseorang Muslim yang tidak mengisi amalan ibadat sepanjang Ramadan dan tidak pula mengecapi fadilat Ramadan yang disediakan Allah bagi orang yang mengharapkan keredaan-Nya.

Maka benarlah apa yang pernah disabdakan Rasulullah saw yang bermaksud: “Betapa ramainya orang berpuasa sepanjang hari, namun mereka tidak mendapat apa-apa melainkan keperitan lapar dan dahaga.

Begitu juga betapa ramainya orang yang berjaga pada malam hari, namun mereka juga tidak mendapat apa-apa melainkan kepenatan berjaga malam.” (Riwayat Ahmad & Hakim)

Maka, tidak hairanlah Ramadan dianggap sebagai bulan latihan dan ujian daripada Allah. Inilah antara hikmah tersurat dan tersirat di sebalik pensyariatan ibadat puasa kepada umat Islam dan sekali gus mengangkat Ramadan sebagai bulan agung lagi penuh berkat.

Ibadat puasa sebenarnya melatih dalam mengelola dan mengendalikan kehendak atau keinginan kita. Dengan berpuasa, kita dapat merasakan betapa kita melatih kehendak agar pada akhirnya kehendak itu selaras dengan kehendak Allah.

Ironinya, dalam keadaan berlapar dan menahan dahaga pada siang hari yang panas lagi terik pada Ramadan, bukankah perkara yang paling enak dilakukan dalam keadaan yang sedemikian rupa ialah makan dan minum?

Akan tetapi, hal sedemikian tidak berlaku sama sekali kerana kita menginsafi bahawa perbuatan itu menyalahi kehendak Allah.

Justeru, ia menuntut kesabaran untuk menahan diri daripada makan dan minum sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam ibadat puasa.

Seterusnya, ibadat puasa melatih kita dalam persoalan ketaatan, kesabaran dan kesungguhan beramal ibadat kepada Allah.

Bukankah kerana ketaatan kita yang tulus ikhlas kepada Allah, kita pun tidak tergamak untuk melakukan larangan Allah ketika melaksanakan ibadat puasa seperti makan dan minum secara sembunyi dan jauh daripada pandangan orang ramai?

Begitu juga, bukankah kerana kesabaran dan kesungguhan beramal kepada Allah, kita bersedia menghadapi sebulan Ramadan dengan kelaparan, kehausan dan memelihara diri daripada perkara yang boleh membatalkan puasa, termasuk melalui malamnya dengan mengurangkan jumlah jam tidur agar dapat lebih banyak masa untuk beribadah kepada Allah?

Buah dari latihan dan ujian yang dihamparkan Allah sepanjang Ramadan ini ialah buah keimanan dan ketakwaan yang semakin hampir ke hadrat Allah.

Takwa, menurut definisi Imam Ali bin Abi Talib, ialah takut kepada Allah semata-mata, beramal serta beristiqamah dengan segala perintah-Nya, reda dan berasa cukup dengan keadaan yang sedikit dan bersiap sedia menghadapi hari kematian.

Takwa inilah antara objektif utama di sebalik pensyariatan ibadat puasa sebagaimana ditegaskan sendiri oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Nampaknya semacam ada satu hubungan secara langsung di antara takwa dan keberkatan yang mewarnai kehidupan harian seseorang Muslim, terutama dalam bulan mulia ini.

Apa yang dapat disimpulkan ialah keberkatan disediakan Allah dalam bulan ini hanya boleh diperolehi dengan iman dan takwa yang bertapak kukuh dalam jiwa sanubari seseorang Muslim.

Oleh sebab itulah, apabila diteliti dalam al-Quran, perkataan keberkatan itu sentiasa dikaitkan dengan iman dan takwa.

Contohnya, Allah berfirman yang bermaksud: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan. (al-A’raf: 96)

Mafhum ayat suci itu menegaskan bahawa iman dan takwa adalah saluran konkrit yang dapat memimpin seseorang Muslim untuk meraih pelbagai keberkatan dan kebajikan yang melimpah ruah yang dijanjikan Allah.

Oleh kerana itulah, Allah memfardukan ibadat puasa kepada umat Islam dengan harapan mereka dapat menjana keimanan yang tulus dan memantapkan ketakwaan yang kudus dan sekali gus meraih pelbagai jenis keberkatan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan ini.


Bagaimanakah kita hendak memastikan puasa sebulan Ramadhan benar-benar memberikan kesan kepada diri?


Tujuan ibadat puasa disyariatkan ialah untuk melahirkan mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT. Puasa juga merupakan ibadat yang telah difardukan oleh Allah kepada umat-umat terdahulu berdasarkan teknik yang sesuai dengan masyarakat pada masa itu. Puasa yang paling berkesan ialah puasa yang mengikut segala tatacara yang telah
digariskan oleh para ulamak Islam. Antaranya:
1. Menahan diri dari makan dan minum di siang hari sepanjang bulan Ramadan.

2. Menjauhkan diri dari bercumbuan-cumbuan dengan isteri di siang hari pada bulan Ramadan.

3. Menunaikan solat 5 waktu sehari semalam secara berjemaah.

4. Menjaga mulut dari mengumnpat, memaki hamun, mengata orang, menuduh yang bukan- bukan, bercakap perkara yang sia-sia.dan lain-lain.

5. Memperbanyakkan bacaan Al-Qur;an dan berzikir kepada Allah.

6. Menjaga telinga supaya tidak mendengar kata-kata umpatan, nista, tuduhan palsu, kata-kata yang meransangkan seks dan lain-lain.

7. Menjaga mata dari melihat perempuan yang halal berkahwin dengannya dan dari menonton filem-filem yang tidak senonoh di dalam TV.

8. Menjaga tangan dari memegang sesuatu yang haram seperti memegang bahu perempuan, gambar lucah dan lain-lain.

9. Menjaga kaki supaya tidak bergerak ke tempat-tempat maksiat, kerana kaki akan disoal nanti tentang kerja yang dilakukannya sepanjang hidup di dunia.

10. Menjaga perut dari makanan yang berlebihan walaupun halal dan mengelakkan dari makanan yang haram dan dari pendapatan yang tidak bersih.

11. Menjaga alat kelamin supaya tidak menggunakannya kepada sesuatu yang diharamkan oleh syariat seperti melakukan onani dan lain-lain kecuali kepada isteri sahaja pada malam hari bulan Ramadan.

12. Membulatkan hati hanya kepada Allah dan hanya mengharapkan keredaan Allah semata-mata.

Inilah di antara cara yang paling berkesan untuk menjadikan puasa yang sedang kita lakukan itu berkesan dan diterima Allah. Dengan lain perkataan puasa yang berkesan itu ialah puasa yang bukan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja, sebaliknya memerlukan kepada pengiltizaman terhadap syarat-syarat, adab-adab dan rukun-rukun yang telah digariskan oleh syariat Islam sepenuhnya.

Sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN054



Apakah persediaan dan bekalan yang diperlukan untuk memasuki "Universiti Ramadan" agar berjaya memperolehi "Ijazah Taqwa"?

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mulia, bahkan ia merupakan waktu (universiti) untuk membina jiwa dan raga dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Banyak hadis dan ayat Al Quran yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Ramadhan ini diantaranya:
"Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukalah pintu-pintu langit dan ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan".(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Banyakkan amalan-amalan sunat dan laksanakan amalan wajib dengan sempurna. Dalam sebuah hadis ada disebutkan tentang diantara amalan-amalan yang perlu dilaksanakan agar memperolehi ketaqwaan. Namun sebelum melaksanakan semua amalan itu hendaklah mempersiapkan jiwa dengan rasa keikhlasan dan beramal kerana Allah semata, bukan kerana riya dan ingin pujian manusia. Jika ini yang terjadi maka rugilah dan punahlah segala amalan yang kita kerjakan nanti.

Diantara amalan yang dianjurkan Rasulullah tersebut antara lain: Solat tarawih dan solat-solat sunat yang lain, bantu membantu diantara sesama Islam dengan amalan sedekah dan sebagainya, memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang-orang yang berpuasa terutamanya orang-orang miskin. Banyak bertahlil, banyakkan memohon keampunan dengan bertaubat dan beristighfar, memohon memperoleh syurga Allah di akhirat kelak dan mohon perlindungan dari api neraka. Wallahu A'lam
Untuk lebih jelas sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN054


Kenapa manusia masih lagi melakukan maksiat dibulan ramadhan sedangkan kita tahu bahawa syaitan telah dikurungkan (diikat). dan bagaimana cara mengatasinya.

Terdapat beberapa pendapat dalam mentafsirkan perkataan 'diikat' diatas. Ada pendapat yang mentafsirkan sebagai kurangnya ruang kearah kejahatan dan ada pendapat yang mengatakan Iblis (sumber kejahatan) diikat secara fisikal. Walau apapun, hati-hati manusia yang telah sebati dengan kejahatan tidak perlu bimbingan syaitan untuk melakukan maksiat. Maka kerana itulah masih terdapat manusia yang melakukan maksiat dibulan Ramadhan. Perkara ini dapat diatasi dengan menambahkan ibadat kepada Allah dengan seikhlas-ikhlasnya. Ibadat ini dapat mentarbiyahkan hati untuk menjadi cenderung kepada kebaikan dan benci kepada maksiat.


Rasullullah gandakan amalan 10 malam terakhir Ramadan

KINI, umat Islam mulai menyambut 21 Ramadan, antara 10 hari terakhir Ramadan. Ketika ini, semua sedang menantikan kedatangan Lailatulqadar, iaitu malam seribu ganjaran.

Ada ulama berpendapat, kedatangan Lailatulqadar boleh dikenal pasti apabila seseorang menemui tanda tertentu, antaranya cahaya terang pada kebanyakan tempat, mendengar ucapan ‘salam’ daripada malaikat, melihat pokok sujud ke bumi dan doa diperkenankan terus oleh Allah.

Bagaimanapun, hal itu tidak dipersetujui Imam Tabari kerana kejadian itu bukan satu yang mutlak berlaku pada malam Lailatulqadar.

Katanya, jika dinyatakan secara jelas tanda Lailatulqadar, nescaya pengabdian kepada Allah dilakukan setelah menemui tanda itu saja.

Begitu juga amalan khurafat bagi menyambut Lailatulqadar seperti mengadakan sambutan malam tujuh likur, kononnya dipercayai pada tarikh itu berlaku Lailatulqadar, juga tidak tepat.

Dalam hal ini, umat Islam hendaklah berpegang kepada teladan yang sudah dilakukan oleh Rasulullah saw.

Sunah menunjukkan Baginda saw menjadikan 10 terakhir Ramadan sebagai saat meningkatkan amalan kepada Allah.

Baginda saw tidak sesekali beribadah pada tarikh tertentu, sebaliknya setiap masa, Baginda bermunajat kepada Allah.

Ahli tafsir berkata, baginda yang sudah dikelaskan sebagai maksum (tidak mempunyai sebarang dosa) tetap beribadah kepada Allah tanpa jemu, tentunya umat mutakhir yang sentiasa bergelumang dosa perlu mengikut jejak langkah baginda saw.

Hakikatnya, banyak riwayat sahih menceritakan perihal Baginda menjelang 10 malam terakhir Ramadan.

Hadis daripada Aisyah, katanya Baginda saw bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Baginda memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam akhir Ramadan berbanding masa lain.” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Aisyah berkata, bahawa Baginda saw sentiasa beriktikaf di masjid sepanjang 10 malam akhir Ramadan.

Tuntutan mencari Lailatulqadar adalah satu kemestian yang perlu dikerjakan oleh setiap umat Islam.

Hal ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim iaitu sabda baginda saw yang bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada 10 hari yang terakhir Ramadan.”

No comments: