Powered By Blogger

Soal Jawab 2

Membaca Al-Qur'an sambil Menonton TV dan Menghisap Rokok

Soalan:
Ustaz, apakah hukumnya seseorang itu membaca Al-Qur'an sambil menonton tv dan menghisap rokok?
Tamimi, Selangor
Jawapan:
Membaca Al-Quran sambil menonton TV dan menghisap rokok adalah bertentangan dengan adab-adab membaca Al-Quran yang telah digariskan oleh para ulamak. Di antaranya pembaca Al-Qur'an hendaklah berada dalam keadaan khusyuk dan berusaha memahami isi kandungan bacaannya sedaya mungkin. Kerana memahami isi bacaan Al-Quran dan beramal dengannya adalah satu perkara yang sangat-sangat dituntut.
Mudah-mudahan pembacanya mendapat cahaya petunjuk daripada Allah SWT. Begitu juga dengan merokok, kerana seseorang yang hendak membaca Al-Quran hendaklah berada dalam keadaan bersih tubuh badan termasuklah mulut dengan bersiwak terlebih dahulu. Merokok menyebakan mulut berbau. Tambahan pula ia boleh memudaratkan badan. Dalam sebuah hadith sahih menjelaskan tidak ada kemudaratan dalam Islam dan tidak boleh memudaratkan orang lain. Adab-adab membaca Al-Quran telah dijelaskan di dalam kitab Tibyan fi Ulumil Quran.

Sila rujuk buku Fadhilat Quran DN 016


Membaca Takbiratul ihram

Soalan:
Apa pendapat ustaz jika kita masbuk, perlukah kita baca takbiratulihram, atau terus baca fatihah?
Sham, Kajang
Jawapan:
Takbiraul Ihram itu adalah salah satu rukun daripada rukun-rukun solat. Adapun lafaz takbiratul Ihram ini hendaklah diucapkan dengan lafaz "Allahu Akbar", tidak boleh ditukar dengan ucapan lain, walaupun mengandungi maksud yang sama. Ketentuan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabda baginda yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah maksudnya: "Adalah Nabi SAW apabila baginda telah berdiri untuk mengerjakan solat maka baginda berdiri dengan lurus dan mengangkat tangannya, kemudian baginda mengucapkan "Allahu Akbar" (ucapan takbiratul ihram).
Jika kita masbuk, maka yang paling mustahak kita lakukan sempurnakan syarat dan rukun solat. Berniatlah dengan penuh khusyuk kemudian berdiri tegak dengan betul dan barulah mengucapkan takbiratul ihram (Allahu Akbar). Setelah itu ikutilah imam sesuai dengan posisi ketika kita selesai takbiratul ihram.

Sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Ibadah Solat DN 200


Membantah Kedua Ibu Bapa.
Soalan:
Berdosakah seorang anak yang membantah pendapat bapanya yang bertentangan dengan hukum
agama / hukum alam?
Mai Aniza Aris, KL
Jawapan:
Islam memerintahkan agar seorang anak menghormati kedua ibu bapanya, walaupun keduanya bukan beragama Islam. Apatah lagi jika keduanya beragama Islam, namun jika keduanya membantah tentang sesuatu ketentuan agama maka jelaskan kepadanya dengan cara yang baik dan tidak menyinggung atau menyakiti perasaan keduanya. Gunakan cara yang berhemah dan lemah lembut serta bahasa yang baik dalam menjelaskan sesuatu persoalan terhadap kedua ibu bapa. Sesungguhnya keredhaan Allah tergantung keredhaan ibu bapa terhadap anaknya.
Untuk lebih jelas sila rujuk buku-buku karegori Keibubapaan & Kekeluargaan & Minda - Pelajar & Remaja


Memberus Gigi Ketika Berpuasa
Soalan:
Apakah kita dibolehkan memberus gigi selepas waktu subuh ketika berpuasa?
Fatimah Azzahra, KL
Jawapan:
Sengaja bersugi atau memberus gigi dalam berpuasa dengan benda basah atau kering tidaklah membatalkan puasa. Tiada ada perselisihan para ulama dalam masalah ini. Namun menurut Imam Syafei memakruhkan memberus gigi setelah tergelincir matahari dengan tujuan untuk menghilangkan bau mulut.
Untuk lebih jelas sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN054


Membuang Bulu Roma.
Soalan:
Apakah hukumnya membuang bulu roma yang menyerupai lelaki?
Mai Aniza Aris, KL
Jawapan:
Allah telah menjadikan sesuatu dalam diri kita dengan lengkap dan sempurna serta mengandungi hikmah yang besar setiap ciptaan-Nya itu. Jika bulu roma yang anda maksudkan itu dapat menimbulkan mudarat pada diri anda maka dibolehkan untuk mencukurnya demi menjaga kesihatan. Namun jika pencukuran itu dilakukan atas niat lain, seperti ingin menunjuk betis kita kepada orang lain atau kepada yang bukan muhrim, maka jelaslah hukumnya menjadi haram kerana betis itu merupakan aurat bagi seorang wanita.


Memejamkan Mata Ketika Solat

Soalan:
Bolehkah saya memejamkan mata semasa solat untuk mencapai kekusyukan dan sejauh manakah keberkesanannya?
Abdullah, Shah Alam
Jawapan:
Sebahagian ulama mengatakan bahawa memejamkan mata dalam solat adalah makruh hukumnya. Tetapi Imam Ibnul Qayyim mengatakan: Pendapat yang benar ialah, apabila membuka mata itu tidak mengurangi khusyuk maka itulah yang lebih utama, dan jika ada yang mencederakan khusyuk seperti terpandang hiasan-hiasan yang membimbangkan nescaya tidaklah dimakruhkan memejamkan mata bahkan disunatkan. Kita memejamkan mata dalam keadaan itu lebih dekat kepada dasar-dasar syarak dan maksud-maksudnya.
Tujuan solat pada asasnya melakukan pengabdian sepenuh hati dan penuh ikhlas kepada Allah. Sekiranya memejamkan mata adalah merupakan jalan atau cara yang sesuai untuk itu maka lakukanlah, demikian juga sebaliknya.

Sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Ibadah Solat DN 200


Memperolehi Satu Rakaat Pada Waktunya
Soalan:
Apakah hukumnya jika saya telah terlewat untuk bersolat, dan setelah rakaat yang pertama maka azan untuk solat yang berikutnya kedengaran. Apakah solat saya dikira sah. Dan apakah hukumnya jika semasa sedang bersolat air mani saya telah keluar semula daripada kemaluan isteri saya. Untuk pengetahuan tuan kami telah bersama sebelum kami bersolat.Apakah sah solat isteri saya itu dan apakah perlu beliau mandi hadas semula?
Azmi, K Lumpur
Jawapan:
Barangsiapa memperolehi satu rakaat sebelum habis waktu bererti ia telah memperolehi solat keseluruhannya. Daripada abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya,
'Barangsiapa memperoleh satu rakaat dari satu solat bererti ia memperoleh keseluruhan solat itu".
(Riwayat Jemaah)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Bila salah seorang diantara kamu memperoleh satu sujud dari solat Asar sebelum matahari terbenam, hendaklah ia menyelesaikan solatnya dan jika ia memperoleh satu sujud dari solat Subuh sebelum matahari terbit, hendaklah ia menyempurnakan pula solatnya". (Riwayat Bukhari)

Kemudian mengenai sisa air mani suami yang terkeluar dari faraj isteri kerana baru melakukan jimak, jika isteri sudah mengerjakan mandi wajib dengan sempurna maka hukumnya tidak berdosa dan solat tetap sah, sebab air mani bukan benda najis.


Menampal Ayat Suci di Kereta
Soalan:
Ayat suci Al Quran memang diketahui ramai tidak boleh dibawa ditempat-tempat yang tertentu. Soalan saya apakah berdosa jika kita menampal ayat suci itu dicermin kereta dan secara tidak langsung terkena air kotor atau tahi burung dan sebagainya walaupun tidak kena tepat kerana dibatasi cermin tadi?
Salmah, Segamat
Jawapan:
Ayat suci Al Quran pada asasnya merupakan nur dan pedoman hidup umat Islam, bukanlah sekadar untuk diperlombakan atau digunakan untuk perhiasan. Namun jika digunakan untuk perhiasan hati dan budi maka ia lebih afdhal. Jika kebetulan ayat-ayat tertentu yang merupakan doa kita tampalkan ditempat yang bersih seperti di dalam kereta maka hukumnya harus atau boleh, kerana dengan cara demikian dapat mengingatkan diri kita akan anjuran agama. Namun jika tujuan pemasangan itu semata-mata untuk perhiasan maka ia berdosa.


Mencuci Pakaian Solat dalam Mesin Pembasuh.

Soalan:
1) Apakah sah / boleh dibawa bersembahyang pakaian yang dibasuh dengan washing machine auto/semi auto?
2) Bagaimanakah caranya mengerjakan solat jamak & qasar serta serta cantuman keduanya?
,KL
Jawapan:
1) Boleh mencuci pakaian solat dalam mesin pembasuh jika pakaian itu tidak terkena najis atau tidak bercampur dengan pakaian lain yang terkena najis yang menyebabkan ia bercampur baur dalam mesin tersebut. Proses pencucian dalam mesin basuh juga mengalirkan air dan bahkan melalui proses pembilasan sehingga pakaian solat itu menjadi bersih.
Tidak kiralah dengan cara bagaimana kita membasuhnya, apakah dengan tangan, dengan mesin basuh atau memerahnya di sungai dan sebagainya. Haruslah dengan air yang mengalir. Jika dengan mesin , 1 X dibilas dengan air sabun dan 2 X dibilas dengan air biasa, sudah memadai.

2) Tentang pelaksanaan solat jamak dan qasar, kami harap anda dapat merujuk soalan sebelum ini dalam daftar isi ruangan kemusykilan.


Mendahulukan Fardhu dari yang Sunat.
Soalan:
Bolehkah kita melakukan sembahyang sunat tarawih tanpa menunaikan sembahyang Isyak dulu? Maksud saya disebabkan terlewat, Imam telah pun memulakan sembahyang terawih sedangkan kita belum menunaikan fardhu Isyak?
Fatimah Azzahra, KL
Jawapan:
Jika anda terlewat datang sedangkan iman mengerjakan solat sunat dan anda sendiri belum mengerjakan solat fardhu ketika itu, maka laksanakanlah solat fardhu itu terlebih dahulu, setelah itu kerjakanlah solat sunat, sebab kita wajib mendahulukan yang fardhu dari yang sunat.


Menegur Ayah yang tidak Solat
Soalan:
Bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita menegur bapa agar mengerjakan sembahyang?
Hamba Allah, Sabah
Jawapan:
Adalah menjadi kewajipan setiap mukmin apabila mendapati saudaranya tidak menunaikan solat menegurnya. Jika ia dapati keadaan ini masih berterusan hendaklah ia melapurkan kepada pihak yang berkuasa supaya pihak berkuasa dapat menasihatinya atau memgambil apa-apa tindakan yang sewajarnya terhadap kelaliannya mengerjakan perintah Allah. Dalam sebuah hadis sahih jelas menyuruh seseorang itu mencegah kemungkaran apabila ia melihatnya samada dengan tangannya jika ia mampu atau jika tidak mampu dengan lidahnya dan jika tidak mampu juga hendaklah dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.
Orang yang ditegur sebenarnya terdiri dari berbagai golongan, kerana itu proses peneguran ini hendaklah dilakukan secara hikmah dan penuh dengan kebijaksanaan. Untuk menegur seorang ayah yang tidak menunaikan solat memerlukan banyak kesabaran. Caranya juga boleh dilakukan dengan menunjukkan contoh tauladan yang baik di hadapan ayahnya, di mana apabila tiba waktu solat, ajaklah ayah anda turut bersolat bersama anda.

Ceritalah kepadanya tentang kelebihan solat dan bahaya orang yang meninggalkkan solat. Berhubunglah dengan orang-orang lain yang boleh menasihati ayah anda seperti ustaz-ustaz yang tinggal berhampiran,dengan rumah anda dan orang-orang tua yang dihormati di kampung anda. Selain itu anda juga boleh membeli kain pelikat, baju melayu, kopiah, dan lain-lain peralatan solat untuk menyedarkannya tentang keperluan solat. Akhir sekali hendaklah anda sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya membuka hatinya ke arah petunjuk dan jalan yang lurus.

Sila rujuk buku 40 Peranan Ibubapa Mithali DN 241 , 20 Sifat fitrah Anak DN 240 , 20 Kesilapan Ibubapa DN 247
40 Peranan Anak Mithali DN 242 , Panduan Memperoleh Hikmah dalam Solat DN 202


Mengeluarkan Zakat Kepada Orang Yang Dikenali
Soalan:
Assalamu'alaikum. Saya ingin bertanya, jika saya berzakat fitrah atau berzakat harta benda (wang) apakah boleh saya kirimkan melalui wang pos kepada orang-orang yang saya telah kenal pasti. Jika ia dibenarkan, bagaimana pula dengan akadnya.?
Termizi, KL
Jawapan:
Dalam mazhab Asy-Syafi'i wang zakat baik zakat fitrah mahupun zakat wang ringgit tidak boleh dipindahkan dari tempat si pengeluar zakat itu berada, kecuali jika penduduk di kawasan itu sudah tidak memerlukan wang zakat itu, di waktu itu barulah boleh dipindahkan ke kawasan lain yang bersebelahan dengannya berdasarkan kebijaksanaan
pihak pemerintah.
Justeru itu saudara tidak boleh memindahkan wang zakat saudara itu diluar dari kawasn tempat saudara tinggal walaupun kepada orang yang saudara kenal, sebaliknya hendaklah saudara membayarnya kepada amil yang dilantik oleh pihak berkuasa di tempat saudara, kerana amil lebih mengetahui siapa yang lebih berhak menerima zakat di tempat saudara itu, di samping memudahkan urusan pembahagian zakat itu sendiri.

Ketika membayar zakatnya niatnya ialah

" Inilah zakat fitrah atau zakat wang ringgit yang diwajibkan ke atasku untuk tahun ini".
Sesetengah ulamak mengharuskan seseorang mengeluarkan zakatnya kepada saudara yang dikenalinya walaupun diluar dari kawasannya asal sahaja saudaranya itu orang miskin atau fakir. Bagaimanapun dalam konteks sekarang ini urusan pengeluaran zakat adalah lebih elok dilakukan melalui amil yang dilantik, kerana urusan pengagihannya akan dapat dilakukan dengan baik.
Boleh jadi jika saudara mengeluarkan zakat kepada sahabat saudara yang saudara kenali itu menyebabkan berlakunya pertembungan perolehan zakat. Dengan kata lain pihak berkuasa di kawasan sahabat saudara itu telahpun memberikan wang zakat kepadanya untuk urusan hariannya kemudian selepas itu saudara pula mengeluarkan kepadanya . Di sini menampakkan wujud pertembungan dari sudut perolehan wang zakat itu sendiri. Justeru itu mengeluarkannya kepada amil adalah lebih baik, kerana maslahah umum.


Mengeluarkan Zakat Pendapatan
Soalan:
Pendapat dari seorang ustaz :
Beliau mengatakan kita tidak perlu membuat potongan gaji untuk zakat pendapatan kerana ia belum cukup haul (setahun). Malah ia berkata tidak perlu untuk mengeluarkan zakat pendapatan kerana tidak ada dalil untuknya dan dengan menguatkan hujah beliau bahawa wang pendapatan
ingin kita gunakan untuk keperluan hidup keluarga?
Azhar, USJ
Jawapan:
Kerja yang dilakukan seseorang dapat dibahagi kepada kerja bebas atau persendirian yang tidak terikat dengan negara seperti doktor swasta, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan lain-lain atau kerja yang terikat dengan kerajaan atau institusi atau syarikat kerajaan atau swasta. Pegawai terlibat dibayar gaji bulanan. Kemasukan yang diperolehi oleh setiap orang yang bekerja secara bebas atau persendirian ini dikenali menurut istilah fekah dengan nama "Almaalu al mustafaadu" ertinya harta yang boleh diambil faedah.
Dalam mazhab empat telah diputuskan bahawa "Almaalu al mustafaadu" tidak wajib dikeluarkan zakat melainkan setelah mencukupi nisab dan sempurna haulnya. Menurut fuqaha As Sayfie harta yang disimpan perlu dikeluarkan zakat, sekalipun didetik yang terakhir sebelum berakhirnya haul setelah cukup nisab.

Jika berpegang dengan pendapat sesetengah sahabat seperti Ibnu Abbas, Ibnu Mas'ud dan Muawiyah dan pendapat sesetengah tabi'in seperti (Az Zahiri, Al Hasan Basri dan Makhul) pendapat Umar bin Abdul Aziz, Al Baqir, As Sidiq, An Nasir dan Daud Az Zahiri. Bahawa dinyatakan zakat wajib dikeluarkan ke atas "Almaalu al mustafaadu" sebaik sahaja diambil harta itu, sekalipun belum cukup haul.

Kadar wajibnya ialah 2.5% berdasarkan umum nas yang mewajibkan zakat ke atas wang ringgit iaitu 2.5% samada telah sempurna haul atau tidak atau sebaik sahaja diambil faedah. Apabila seseorang Islam mengeluarkan zakat pendapatan ketika mengambil pendapatan itu tidak perlu lagi mengeluarkan zakat sekali lagi di akhir haul.

Sila rujuk buku Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih DN 224


Mengerat Kuku Ketika Berhadas Besar

Soalan:
Apakah kita dibolehkan mengerat kuku atau rambut semasa dalam keadaan berhadas besar (janabah/haid)?
Isa, PJ
Jawapan:
Menurut jumhur ulamak mengerat kuku dan memotong rambut ketika seseorang wanita sedang mengalami haid adalah diharuskan dan tidak dilarang, kerana tidak didapati dalil dari Al-Quran mahupun dari Al-Hadis yang melarang berbuat demikian. Demikian yang disebut di dalam kitab Al-Fiqh Al-Wadih. Bagaimanapun menyimpannya lalu dibawa bersama ketika mandi junub adalah lebih baik.
Al-Imam Al-Ghazali dari kalangan fuqahak Asy-Syafi'i menghukumkan makruh memotong kuku dan mengerat rambut ketika sesesorang perempuan itu sedang didatangi haid, atas alasan anggota yang dibuang itu akan disoal oleh Allah SWT pada hari Kiamat nanti. kerana itu amat wajar sekiranya ia kembali kepada Allah dalam keadaan bersih.

Sila rujuk buku Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih DN 224


Mengerjakan Haji dengan Mengupah Orang Lain

Soalan:
Bolehkah seseorang yang sakit (tidak boleh berjalan) mengerjakan haji dengan cara mengupah seseorang untuk mengerjakan haji bagi pihaknya?
Fauziah, KL
Jawapan:
Orang yang lemah keadaannya seperti sudah terlalu tua atau uzur sakit yang berat dan tidak dapat pergi sendiri untuk menyempurnakan fardhu Haji, maka diharuskan ia menyuruh orang lain mengerjakan Haji bagi pihak dirinya, samada dengan sukarela ataupun dibayar upahnya.
Begitu juga jika orang itu meninggal dunia tetapi belum dapat menunaikan fardhu Haji semasa hidupnya, maka harus juga hukumnya bagi orang yang hidup mengerjakan Haji atasnya, samada dengan sukarela atau diupah.



Wallahu A'lam

.
Anda Bertanya?
Islam Menjawab!


Mengqada Puasa Kerana Mengandung
Soalan:
Assalamualaikum, Ustaz
Saya ada satu kemusykilan berkenaan dengan puasa ganti. Saya telah tinggal puasa sebanyak 8 hari kerana pada masa itu saya mengandungkan anak yang pertama (tahun lalu). Saya tidak dapat menggantikan puasa tersebut disebabkan oleh kesihatan yang tidak mengizinkan.Oleh yang demikian, saya dikehendaki memberi beras 1 cupak untuk satu hari puasa kepada orang miskin dan menggantikan balik puasa tersebut.
Soalan saya, bolehkah saya membayar beras kepada orang miskin dahulu dan menggantikan balik puasa saya kemudian hari? Adakah dengan berbuat demikian, hari puasa saya akan berganda iaitu 16 hari?
Sekian, wassalam.
Nik Zainab, KL
Jawapan:
Daripada Anas bin Malik berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Sesungguhnya Allah SWT membebaskan puasa dan separuh solat bagi musafir, dan membebaskan puasa bagi wanita yang hamil dan wanita yang menyusui". (R. Lima Imam)
Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa wanita yang hamil dan menyusui boleh tidak puasa, iaitu bila wanita yang menyusui khuatir atas bayi yang disusuinya dan wanita hamil khuatir atas janinnya.
Menurut Ishaq, wanita hamil dan wanita yang menyusui tidak puasa dan boleh makan serta tidak wajib mengqada. Jika keduanya mahu boleh mengqada dan tiada fidyah.

Menurut Syafei, Al Auzai dan Az Zuhri, bagi wanita hamil dan menyusui yang meninggalkan puasa maka wajib qada tanpa fidyah.

Kemudian menurut ulama Syafeiyah wanita hamil dan menyusui anak wajib mengqadha dan membayar fidyah. Jadi terpulanglah kepada puan untuk memilih mana satu pendapat ulama di atas. Cuma saja puan tidak perlu berpuasa berganda, cukup mengganti sebanyak yang tinggal.


Meninggalkan Bacaan Surah dalam Solat

Soalan:
Bolehkah saya hanya membaca Al-Fatihah sahaja tanpa membaca surah-surah lain sewaktu menunaikan sembahyang?
NAR, KL
Jawapan:
Membaca surah Al-Fatihah sahaja di dalam solat tanpa membaca surah selepas itu, tidaklah membatalkan solat, sebaliknya solat tetap sah. Bagaimanapun jika anda menjadi imam elok dibaca surah selepas membaca surah Al-Fatihah kerana mengikut sunnah Rasulullah SAW yang membaca surah selepas membaca surah Al-Fatihah. jika anda menjadi makmum pula setelah membaca surah Al-Fatihah tidak perlu lagi anda membaca surah sebaliknya hendaklah anda menumpukan diri kepada bacaan imam.
Sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Ibadah Solat DN 200 , Panduan Lengkap Ibadah Solat DN 114
Soal Jawab Ibadah Solat DN 176


Meninggalkan Solat Jumaat kerana Kerja
Soalan:
Saya berkerja di salah sebuah anak syarikat petronas di mana ia mengendalikan pemperosesan gas. Dan saya bekerja mengikut shift. Masalah saya ialah,tentang hari Jumaat. Apakah hukumya sekiranya saya berkerja pada hari itu,dan saya tidak dapat pergi sembahyang Jumaat. Keadaan ini berlaku mengikut purata 3 hari dalam masa dua bulan dan 3 hari itu bukannya minggu yang berturut-turut.?
Zulkifli, Kuantan
Jawapan:
Dalam sebuah hadith yang sahih menjelaskan seseorang yang meninggalkan solat jumaat tiga kali berturut-turut dengan sengaja tanpa keuzuran syar'i maka ia terkeluar dari Islam. Dalam kes saudara yang bertanya di atas, walaupun saudara meninggalkan solat jumaat tidak tiga kali berturut-turut dalam masa sebulan, tetapi perbuatan saudara ini tetap dikira salah dan dikira meringan-ringankan hukum Allah, kerana solat jumaat itu hukumnya fardu ain ke atas setiap individu muslim.
Kesukaran yang dihadapi oleh saudara itu bukanlah kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Saudara tidak boleh membiarkan keadaan ini berlalu begitu sahaja dan diri saudara pula bergelumang dengan dosa tidak melaksanakan solat jumaat. Satu pendekatan yang halus perlu dicari bagi membolehkan saudara dapat bersama umat Islam yang lain menunaikan kewajipan solat jumaat dengan sempurna.

Saudara juga perlu mengambil sikap tegas dalam masalah ini, kerana ia melibatkan hukum Allah yang tidak boleh dipersia-siakan. Apalah gunanya kita dapat menggunakan rezeki tuhan tetapi perintah tuhan kita lalaikan. Dalam Islam kita disuruh mencari rezeki bagi memenuhi keperluan hidup yang diantara matlamatnya ialah ibadat. Janganlah kerana terlampau mengejar kebendaan kita sanggup mencuaikan hak Allah.

Sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Ibadah Solat DN 200


Menunaikan Haji bagi Si mati
Soalan:
Kalau seseorang itu telah meninggal dunia tetapi dia belum sempat menunaikan haji, adakah wajib warisnya menggunakan wang simpanan kwsp arwah simati untuk menunaikan haji secara wakil. Ini adalah setelah semua hutang-hutang arwah simati dibayar?
Jaafar, KL
Jawapan:
Apabila seseorang itu meninggal dunia harta peninggalannya tergantung kepada lima perkara mengikut turutan. Pertama digunakan untuk menyelesaikan urusan jenazahnya. Kedua menyelesaikan gadaian atau harta yang dipinjamnya dari orang lain. Ketiga membayar hutang si mati samada hutang kepada manusia mahupun hutang kepada Allah SWT. Menunaikan wasiat si mati, jika beliau ada berwasiat. Kelima membahagikan harta pusaka kepada waris-waris si mati.
Oleh itu jika si mati masih belum menunaikan fardu haji sedangkan ia telahpun mempunyai kemampuan berbuat demikian, maka wajiblah diwakilkan kepada orang lain supaya menunaikan fardu haji bagi pihaknya dengan syarat pihak yang menjadi wakil itu telahpun menunaikan fardu haji. Seorang perempuan dari Khas'am pernah bertanya Rasulullah SAW tentang kedudukan ayahnya yang sudah tua yang tidak mampu lagi menunaikan fardu haji, adakah beliau boleh menunaikan fardu haji bagi pihaknya.

Ujar baginda SAW: Ya; (Hadis ini dikeluarkan oleh malik, Asy-Syafii, Asy-Syaikhain, Abu Dawud Dan Nissa'i). Dalam sebuah hadis yang lain menjelaskan seorang perempuan bertanya Rasulullah SAW tentang ibunya yang bernazar hendak menunaikan fardu haji tetapi belum sempat ia berbuat demikian, ia sudah meninggal, adakah boleh ia menunaikan fardu haji untuk ibunya itu. Rasulullah SAW memberi kebenaran kepada perempuan itu berbuat demikian.

Sehubungan dengan itu anda boleh mengeluarkan wang KWSP ayah anda untuk digunakan bagi menunaikan fardu haji bagi pihak ayah anda, kerana ibadat haji itu dikira hutang dengan Allah yang mesti dilangsaikan terlebih dahulu, kemudian yang selebihnya hendaklah dibahagikan sebagaimana dalam sistem pembahagian pesaka.

Sila rujuk buku Panduan Ibadah Haji Umrah & Ziarah DN 045


Mimpi (Inzal) Di siang Hari Ramadhan
Soalan:
Soalan saya ialah adakah batal puasa seseorang itu sekiranya terkeluar air maninya semasa dia tengah
tidur?
Mat, KL
Jawapan:
Bermimpi dalam berpuasa sehingga keluar mani tidaklah membatalkan puasa. Dalam hukum ini tidak ada perselisihan pendapat para fuqaha.
Untuk lebih jelas sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN054


Nasi bercampur sembelihan tidak halal
Didalam satu pinggan terdapat daging/ayam yang meragukan cara penyembelihanya.Soalnya adakah boleh kita memakan nasi yang telah bercampur dengan kuah lauk tersebut jika kita mengasingkan lauk itu.
Harap dapat penjelasan dari tuan.Terima kasih.

Sekiranya kita berada dalam keadaan was-was maka tinggalkanlah. Tetapi sekiranya dalam keadaan terpaksa, iaitu tiada alternatif lain, maka asingkanlah yang diragui itu. Keraguan disini adalah diatas keharamannya, dimana makanan tersebut asalnya halal tetapi diragui cara sembelihannya. Jika asalnya haram, seperti babi dan anjing, maka kelonggaran untuk memakannya hanyalah dengan sebab menjaga nyawa dan makan sekadar untuk menjaga nyawa (bukan untuk mengenyangkan.)


Orang Islam Memelihara Anjing
Soalan:
Bolehkah seseorang yang beragama Islam memelihara anjing di atas sebab keselamatan?
Perlukah kasut atau stokin disamak jika dilarikan anjing?
Shah, Sg Buloh
Jawapan:
Menggunakan atau memelihara anjing untuk keperluan berburu dan menjaga harta benda hukumnya mubah atau boleh, selagi kita menjaga batas-batas dan ketentuan pergualan dengan binatang peliharaan kita tersebut. Banyak hadith-hadith Rasulullah SAW menerangkan perkara ini diantaranya;
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Dari Abi Tsa'labah Al Khasyni berkata; Aku pernah bertanya "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di kawasan berburu, aku berburu dengan anak panahku dan dengan menggunakan anjingku yang terlatih (yang diajar) serta anjingku yang belum terlatih, manakah yang boleh untukku ?" Rasulullah SAW lalu menjawab: "apa yang telah engkau buru dengan anak panahmu dan engkau sebut nama Allah sebelumnya, makanlah. Dan yang telah engkau buru dengan anjingmu yang tidak terlatih, lalu kamu sempat menyembelihnya, maka makanlah". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam ayat Al Quran juga disebutkan maksudnya:

"Mereka bertanya kepadamu; Apakah yang dihalalkan bagi mereka ?. Dihalalkan bagimu yang baik-baik dan buruan yang ditangkap oleh binatang-binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatihnya untuk berburu, kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. maka makanlah dari apa yang telah ditangkapnya untukmu dan sebutlah nama Allah. Bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya hisab Allah amat cepat". (Al Maidah ayat 4)
Jadi jelaslah memelihara anjing untuk kegunaan menjaga harta benda hukumnya mubah atau boleh. Kemudian jika kasut atau stokin dijilat anjing maka basuhlah stokin tersebut dengan tujuh kali dan salah satu diantaranya dicampur dengan air tanah. Wallahu a'lam.


Pelaksanaan Solat Tarawih
Soalan:
Yang manakah lebih afdhal?
a. Solat Tarawih bersendirian di rumah.
b. Solat Tarawih bersama isteri di rumah.
c. Solat Tarawih di Surau.
d. Solat Tarawih di Masjid.
Yang manakah lebih afdhal?
a. Solat Tarawih 20 rakaat.
b. Solat Tarawih 8 rakaat diikuti dengan Tazkirah/Majlis Ilmu?
Abdul Hanan,KL
Jawapan:
Hukum solat Tarawih ialah sunat muakakad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan. Oleh kerana itu keadaannya menjadi penyempurna bagi ibadat puasa yang wajib dan banyak pahalanya.
Sebagaimana yang diamalkan sendiri oleh Rasulullah SAW solat sunat Tarawih boleh dikerjakan dengan bersendirian ataupun secara berjamaah di masjid atai disurau. Telah sepakat pendapat ulama bahawa lebih afdal solat sunat Tarawih itu dikerjakan dengan berjamaah.

Rasulullah pada mulanya mendirikan solat sunat Tarawih di Masjid Nabawi dengan berjamaah. Pada malam keduanya baginda dapati sambutan begitu ramai dari para sahabat, sehingga baginda merasa bimbang kalau umat Islam kelak menganggap solat Tarawih itu sebagai wajib. Ternyata benar pada malam ketiganya menjadi bertambah ramai para sahabat yang berhimpun di Masjid Nabawi untuk mengerjakan solat sunat Tarawih berjemaah bersama Rasulullah SAW. Tetapi baginda tidak mahu hadir, kerana bimbang umat Islam akan menganggap ibadah solat itu sebagai wajib, bukan tidak mahu berjemaah.

Pada zaman pemerintahan khalifah Saidina Umar Ibnul Khattab, beliau merasa tidak senang hati melihat umat Islam berkelompok kelompok di sana-sini di dalam Masjid Nabawi mendirikan solat sunat Tarawih. Beliau lalu berusaha menyatukan mereka supaya mendirikan soalt sunat Tarawih itu dalam satu jamaah sahaja yang lebih besar dan bersatu, dengan diimamkan oleh seorang yang baik bacaannya.

Perubahan yang dibawa oleh Saidina Umar ra. itu tidak mendatangkan anggapan bahawa solat Tarawih itu sebagai wajib. Demikian juga bilangan rakaat dari lapan rakaat menjadi dua puluh rakaat tidak dianggap memberatkan mereka. Ini disebabkan pada zaman khalifah Umar ra., keadaan keilmuan agama telah semakin luas dan mendalam serta suasana masyarakat umat Islam telah stabil. Mereka telah cukup memahami bahawa solat Tarawih itu hukumnya sunat muakkad (sunat yang dituntut) bukan fardhu atau wajib. Demikian juga mereka mengamalkan solat sunat Tarawih dua puluh rakaat memandangkan faedah dan kelebihan pahalanya yang amat besar. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Sekiranya ummatku mengetahui apa yang ada pada Ramadhan itu, sudah pasti mereka akan sentiasa mengharapkan agar semua bulan yang lain menjadi Ramadhan" (Hadis)
Untuk lebih jelas sila rujuk buku Panduan Solat Tarawih DN094


Pengertian Tarawih
Soalan:
Apakah pengertian solat Tarawih, bilangan rakaatnya dan kaifiat mengerjakannya mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.?
Abdul Hanan, KL
Jawapan:
Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirehat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya'. Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih sebelum disambung semula.
Aisyah ra. meriwayatkan: "Rasulullah SAW solat Tarawih empat rakaat pada waktu malam setelah itu beristirehat. Baginda duduk lama sehingga saya kasihan melihatnya. Saya berkata kepadanya: "Demi Allah wahai Rasulullah. Dosa-dosamu telah diampuni Allah , samada dosa terdahulu dan terkemudian; maka untuk apakah tuan bersusah payah solat seperti ini ?. Baginda menjawab: Bukankah lebih baik kalau aku menjadi hamba yang bersyukur".


Perkara Makruh ketika Solat

Soalan:
Apakah hukumnya sekiranya seseorang itu menguap atau batuk ketika sembahyang?
Shah, Sg Buloh
Jawapan:
Menguap dengan membuka mulut ketika solat hukumnya makruh, kerana seseorang itu boleh menahan menguapnya dengan tanpa membuka mulut lebar-lebar. Begitu juga halnya dengan batuk jika boleh ditahan dengan cara yang baik maka itu lebih baik, namun jika tidak boleh maka tidak mengapa kerana batuk merupakan semacam penyakit yang sukar untuk ditahan. Mengenai membuka mulut ketika menguap Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Dari Abu Hurairah ra. Nabi SAW bersabda: "Menguap dalam solat adalah datang daripada syaitan, maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia berkuasa menahannya (daripada membukakan mulutnya lebar-lebar)". (Riwayat Tarmizi dan Muslim)
Sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Ibadah Solat DN 200


Posisi Duduk Tahiyat Awal.
Soalan:
Semasa duduk tahhiyat awal & akhir jari kaki kanan dibengkokan menghadap kiblat tetapi jika kita tidak buat adakah batal sembahyang kita?
Alwi ,KL
Jawapan:
Membengkokkan jari kaki kanan ketika duduk tahiyat awal bukanlah termasuk dalam rukun solat yang jika tidak dikerjakan boleh membatalkan solat. Jadi walaupun meluruskan jari-jari kaki kita maka solat kita tetap sah. Perkara tersebut termasuk adab-adab ketika solat oleh itu adalah lebih baik jika dapat dilakukan seperti tersebut.


Puasa

Saya ada kemusykilan mengenai dengan ibadah puasa. Iaitu saya ada mendengar bahawa seseorang yang didalam musafir adalah makruh berpuasa. Sila ustaz jelaskan.

Makruh berpuasa sekiranya dengan berpuasa itu akan mendatangkan mudarat kepada kita tidak kira dalam musafir atau tidak. Contohnya perempuan mengandung, ibu yang menyusukan anak dan sebagainya. Walaubagaimanapun puasa yang ditinggalkan itu wajib diganti pada waktu lain. Berpuasa dibulan Ramadhan mempunyai kelebihan yang amat tinggi berbanding dengan bulan lain, maka eloklah bersusah payah sedikit dan tidak terlalu mudah meninggalkannya. Dalam keadaan zaman ini, musafir tidak sesusah dulu, dan jika susah sekalipun tetapi kita masih dapat meneruskan puasa, pasti ketika berbuka nanti, nikmat yang kita rasakan tidak sama dengan puasa dihari biasa (tanpa banyak ujian).

Allahu a'lam.


Qada' Puasa dan Puasa Enam
Soalan:
Saya telah tertinggal puasa selama 6 hari kerana uzur, tetapi bolehkah saya mengqada'kan puasa sekali dengan puasa 6 (sunat) dengan 2 niat tetapi 6 hari puasa sahaja?
Norlela, Gombak
Jawapan:
Puasa qada adalah menggantikan puasa yang difardhukan (Ramadhan) sedangkan puasa enam merupakan puasa sunat, jadi keduanya tidak boleh digabungkan. Yang paling afdal usahakan mengqada puasa Ramadhan dahulu, kemudian laksanakan puasa sunat enam, bulan Syawal.

Untuk lebih jelas sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN054


Qadha Solat Setelah Bertaubat
Soalan:
Apakah dosa bagi orang yang tidak sembahyang untuk sekian lamanya? Bagaimanakah jika seseorang itu ingin mengantikan solatnya itu setelah ia bertaubat?
Syazrul, Shah Alam
Jawapan:
Jika meninggalkan solat dengan sengaja maka ia tidak wajib mengqadhanya. Ini menurut pendapat yang paling shahih di kalangan ulama. Kerana meninggalkan solat dengan sengaja pada hakikatnya telahpun terkeluar dari batasan Islam dan menyebabkan ia boleh digolongkan sebagai orang-orang kafir. Orang-orang kafir pula tidak diwajibkan mengqadha solat di masa-masa kekafirannya. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Yang membezakan seorang itu mukmin dan kufur serta syirik adalah meninggalkan solat". (Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW tidak memerintahkan kepada orang-orang kafir sebaik sahaja mereka memeluk Islam untuk mengqadha apa-apa yang telah mereka tinggalkan (dari solat). Demikian pula setiap para sahabat mereka tidak memerintahkan kepada orang-orang murtad mengqadha solat. Bagaimanapun sekiranya seseorang itu mengqadhanya kerana ia telah meninggalkan solat dengan sengaja, namun ia tidak ingkar terhadap wajibnya solat, maka ia tidak apa-apa (harus hukumnya).


SEBELUM SUBUH
PEDANG MALAM

Pada zaman Abu Hassan bin Bisyir, ada seorang pegawai pemerintah yang zalim. Perilaku pegawai itu tidak disenangi oleh Abu Hassan yang sayangkan kedamaian dan keamanan masyarakat Islam. Pada suatu malam ketika pegawai itu sedang berehat di dalam rumah besarnya di tepi pantai sambil menikmati berbagai hidangan lazat dan minuman keras, Abu Hassan mengumpul pengikut-pengikutnya untuk membetulkan sikap pegawai zalim itu.

Setelah berkumpul, mereka sebulat suara mengatakan semangat untuk bertindak. Abu Hassan dan pengikut-pengikutnya pun berkerumun di depan rumah besar itu dan serentak membacakan ayat-ayat suci al-Quran dengan suara yang tinggi.

Apabila mendengar suara gemuruh di luar rumah, maka keluarlah seorang pegawal dan bertanya kepada mereka, :Kenapa kamu semua berkumpul di sini? Janganlah buat sibuk dan mengacau pegawai yang sedang berehat!"

Abu Hassan pun menjawab dengan tenang, "Kamu cakap pada pegawai yang kamu sayang tu, jangan melakukan kemungkaran atau cuba melakukannya secara terang-terangan. kalau dia tak nak tunduk kepada permintaan kami ini, kami akan bunuh dia!"


Kemudian pengawal tadi pun masuklah ke dalam rumah dan menyampaikan pesanan itu kepada pegawai berkenaan. Pegawai itu berkata, "Cuba bayangkan bagaimana mereka nak bunuh aku sedangkan aku dikawal oleh satu pasukan pengawal yang kuat dan senjata yang canggih..."

Kata-kata pegawai itu terus diberitahu oleh pengawal tadi kepada Abu Hassan, "Macammana kamu semua nak bunuh pegawai kami. Kamu semua tengoklah sendiri tentera yang mengawalnya semuanya gagah berani dan mempunyai senjata yang banyak."

Abu Hassan pun menjawab, "Kami boleh bunuh dia hanya dengan pedang malam."

"Apa dia 'pedang malam' itu?" tanya pengawal.

Abu Hassan menjawab lagi, "Pedang malam ialah doa kami kepada Allah dengan mengangkat tangan tinggi-tinggi."

Pengawal itu pun segera menyampaikan kata Abu Hassan kepada pegawai. Setelah mendengarnya, tiba-tiba tubuh pegawai itu menggigil ketakutann. Dia pun serta-merta membuang araknya dan meninggalkan perbuatan mungkarnya seraya berkata, "Kalau senjata itu yang digunakan untuk membunuh aku, memang tidak ada lagi kekuatan yang mampu menangkisnya."

Pegawai itu terus menyedari kesalahannya selama ini dan kembali ke jalan yang benar. Keberanian Abu Hassan serta pengikutnya menyampaikan hak menyebabkan pegawai itu bertaubat walaupun mereka berhadapan dengan senjata yang canggih.


Selepas Mandi Wajib Terus Mengerjakan Solat

Soalan:
Bolehkah seseorang itu terus bersembahyang setelah mandi wajib tanpa mengambil air sembahyang? (Ini adalah berikutan terdapat orang yang berkata mandi wajib melingkungi hadas besar dan hadas kecil. Maka seseorang itu boleh terus bersembahyang tanpa mengambil air sembahyang)?
Hamba Allah, Sg Buloh
Jawapan:
Mandi wajib membersihkan diri seseorang daripada hadas kecil dan hadas besar. Jika seseorang itu telah mandi wajib maka bolehlah ia terus mengerjakan solat tanpa mengambil wuduk lagi, kerana fungsi mandi wajib tadi telah membersihkan seseorang dari hadas besar demikian juga dengan hadas kecil. Yang paling penting untuk diingat setelah mandi wajib itu janganlah menyentuh bahagian dubur dan kubul yang boleh menyebabkan batalnya wuduk. Jika ini terjadi hendaklah ia mengambil wuduk jika ingin mengerjakan solat.


Sembahyang Jumaat dan Jamak

Untuk makluman Ustaz saya sedang menuntut di Jepun .
Soalannya,
Disini ada 4 orang muslim.Jadi mengikut mazhab Syafi`i Fardhu Jumaat adalah gugur. Tetapi pelajar dari Indonesia cenderung untuk melakukan fardhu Jumaat.



Menurut mazhab Shafii,antara syarat sah sembahyang Jumaat adalah mempunyai jumlah jemaah sebanyak 40 orang. Maka jika tidak cukup maka gugurlah kewajiban Jumaat itu danwajiblah dikerjakan sembahyang zuhur. Walaupun begitu ada mazhab lain yang berpendapat bahawa jumlah jemaah tidak perlu 40 orang. Jika sahabat anda bermazhab lain maka mungkin mereka masih boleh mengerjakan sembahyang Jumaat tersebut.



Adakah sah sembahyang jumaat sebelum masuk waktu zohor?.. & apakah hukumnya jika saya cuma bersembahyang zohor kerana was2 akan sahnya sembahyang jumaat tersebut

Sembahyang Jumaat tidak sah dilakukan diluar waktu zuhur. Hukum mengerjakan sembahyang zuhur pada hari Jumaat adalah sah sekiranya terdapat halangan untuk mengerjakan sembahyang Jumaat.


Sembahyang Musafir
Saya telah berniat melakukan Jamak Takhir (menghimpunkan Sembahyang Zohor ke Asar) dalam perjalanan yang melebihi 2 marhalah. Bagaimanapun, saya telah sampai ke rumah dalam waktu Asar tanpa sempat menunaikan Jamak Takhir semasa dalam perjalanan. Apakah yang perlu dilakukan? Perlukah saya sembahyang Asar and qadho sembahyang Zohor?

Setelah sampai ketempat bermastautin, maka musafir kita tamat. Dengan itu tidak boleh kita bersembahyang Jamak lagi. Maka perlulah kita bersembahyang Asar dan mengqadho sembahyang zuhur yang tertinggal.

Semasa dalam perjalanan jauh, sewaktu masuk waktu Zohor saya telah berniat untuk menjamak sembahyang Zohor dengan Asar di waktu Asar. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, sewaktu waktu Zohor masih ada, sebahagian dari penumpang kenderaan ingin membuat jamak taqdim iaitu menjamak Zohor dengan Asar di waktu Zohor. Bolehkah saya bertukar niat dan bersembahyang bersama mereka?

Tidak menjadi masalah.

Pernah juga saya terpaksa memulakan suatu perjalanan jauh sebelum masuk waktu Subuh. Perjalanan saya mengambil masa yang lama dan adalah sukar bagi saya mengerjakan sembahyang subuh kerana waktu Subuh yang agak pendek dan perjalanan juga agak baru dimulakan. Sembahyang jamak tidak terdapat untuk Sembahyang Subuh, maka saya dalam keadaan sukar berhenti juga untuk sembahyang. Adakah terdapat sebarang kemudahan di dalam Islam untuk musafir di dalam keaadan begini?

Sembahyang Subuh tetap wajib dikerjakan dalam waktunya. Maka jika keadaan diluar kawalan kita, seperti dalam bas dan sebagainya, hendaklah kita bersembahyang dengan kekurangan tersebut, seperti sembahyang duduk dan sebagainya.

Terdapat pelajar disini (soalan dari Jepun) yang melakukan sembahyang Jama` dan Qasar dengan alasan dia disini datang untuk sementara sahaja (4 tahun )dan bukan untuk terus tinggal disini (bermastautin).

Menurut mazhab Shafii, istilah musafir ialah menetap tidak lebih dari tiga hari tiga malam. Selebih dari itu tidak dikira musafir dan tidak boleh mengerjakan sembahyang Qasar dan Jama'. Pengkecualian diberi juga kepada musafir yang tidak tentu tempoh menetapnya mereka disatu-satu tempat tersebut. Contohnya, jika seseorang musafir itu menjangka bahawa beliau akan menetap disuatu tempat itu tidak lebih dari tiga hari, akan tetapi kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan, beliau terpaksa tinggal lebih lama tanpa tahu bila boleh beredar. Maka beliau dibolehkan menjamakkan sembahyangnya sehingga 15 hari.

No comments: