Powered By Blogger

Soal Jawab 1

Antara Puasa Enam dan Puasa Qada'
Soalan:
Ustaz, ada orang mengatakan setelah kita mengerjakan puasa enam kita tidak perlu membayar puasa qada. Boleh ustaz selesaikan kemusykilan saya ini?
Jam, JB
Jawapan:
Fuqaha Hanafiyah, Syafeiyah dan Hanabilah mengatakan bahawa puasa enam hari pada bulan Syawal itu adalah sunat hukumnya. Jamaah ahli hadis kecuali Bukhari meriwayatkan dari An Nasai dari Abu Ayyub al Anshari bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diiringinya dengan berpuasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun penuh". Jadi puasa enam pada bulan syawal ini merupakan puasa sunat sahaja.
Mengqada puasa adalah kewajipan kita menggantikan puasa yang tertinggal pada bulan Ramadha kerana sebab-sebab tertentu. Setengah ulama mengatakan kita perlu mengganti puasa wajib yang kita tertinggal itu barulah kita mengerjakan puasa sunat yang lainnya. Jadi antara puasa qada' dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, perlulah dipisahkan antara yang Fardhu (wajib) dan yang Sunat. Kerjakanlah puasa qada' dahulu barulah kerjakan yang sunat kerana itulah yang lebih afdal. Wallahu A'lam.


Bekerja di Farmasi
Soalan:
Sebagai ahli farmasi, sering didatangi pembeli yang ingin membeli ubat seperti perancang keluarga dan ubat yang boleh menggugurkan kandungan. Apakah berdosa saya menjual akan ubat-ubat tersebut ?
Ibnuas, KL
Jawapan:
Sebagai sebuah farmasi maka perlulah menyediakan berbagai ubatan yang dapat dibeli oleh para pengguna. Sedangkan syarat membolehkan atau melarang untuk menggunakan ubat-ubat tersebut tergantung pada pihak-pihak yang ditunjuk seperti para ulama, doktor dan sebagainya.
Jika pembeli berhajat ingin membeli ubat menggugurkan kandungan, mungkin ketika itu para ulama membenarkannya lantaran pembeli dalam keadaan darurat (bahaya) terpaksa menggugurkan kandungannya demi keselamatan ibu yang mengandung. Begitu juga ubat-ubat yang lain. Jadi menjual ubat-ubat tersebut di atas hukumnya harus atau dibolehkan untuk kemaslahatan ummah.


Berpuasa Awal Sehari kerana Merantau
Soalan:
Ibu saya telah menunaikan umrah baru-baru ini. Beliau telah mula puasa di Mekah 1 hari lebih awal. Bagaimana kedudukan puasa beliau sekarang di Malaysia berpuasa ramadhan 30 hari?
Haji Khalid, Ipoh
Jawapan:
Seseorang itu bolehlah memulai puasanya apabila dia telah melihat hilal atau anak bulan Ramadhan. Tak kiralah di negara mana ia berada ketika itu. Kemudian seseorang itu boleh berbuka atau berhari raya ketika melihat hilal atau anak bulan Syawal. Dalam sebuah hadis ada di jelaskan maksudnya:
"Berpuasalah kamu kerana telah melihatnya (hilal Ramadhan) dan berbukalah kamu kerana telah melihatnya (hilal Syawal)". (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika ketika awal puasa berada di Makkah dan di sana sehari lebih awal dari negara kita, maka kita (yang berada di Makkah) wajib berpuasa kerana telah melihat anak bulan Ramadhan. Setelah kembali ke tanah air maka ikutlah kaedah di sini, jika terlihat anak bulan Syawal nanti maka berbukalah (menyambut hari raya). Tidak perlulah kita mengira jumlah lebihan hari kita berpuasa lantaran proses pertukaran tempat, tetapi sebaliknya bersyukurlah atas rahmat yang Allah berikan itu. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Sekiranya ummatku mengetahui apa yang ada pada Ramadhan itu, sudah pasti mereka akan sentiasa mengharapkan agar semua bulan yang lain menjadi Ramadhan" (Hadis)
Untuk lebih jelas sila rujuk buku Bimbingan


Bohong Secara Terpaksa
Soalan:
Apakah hukumnya sekiranya kita berbohong secara terpaksa (tiada pilihan lain)?
Izzat, Dungun
Jawapan:
Hukum asal bagi berbohong adalah haram kerana ia mengandungi bahaya yang akan menimpa ke atas orang yang dusta itu ataupun ke atas orang lain. Dalam Al-Quran menjelaskan Allah SWT menyediakan balasan neraka kepada orang-orang yang berdusta.Tetapi kadang-kadang berbohong mendatangkan maslahah. Di kala itu berbohong diharuskan.
Begitu juga berbohong kadang-kadang boleh menjadi wajib seperti jika seseorang bercakap benar akan mendatangkan bahaya kepada nyawa orang yang tidak berdosa akibat perbuatan orang yang zalim yang mahu membunuhnya. Berbohong juga menjadi harus untuk menghalang dari tercetusnya peperangan atau untuk mendamaikan dua orang yang bersengketa atau untuk melunakkan hati orang yang teraniaya atau untuk mengeratkan hubungan antara suami isteri yang bersengketa.

Dalam situasi ini diharuskan berbohong, tetapi hendaklah mengikut sekadar yang perlu sahaja dan tidak melampaui batas atau berlebihan. Ada banyak hadis yang membuktikan bolehnya berdusta kerana maslahah-maslahah yang dinyatakan di atas. Thawban pernah berkata: Berdusta itu semuanya haram kecuali yang mendatangkan manfaat bagi seseorang muslim atau boleh menolak sesuatu mudarat daripadanya. Begitulah yang dijelaskan di dalam kitab Maw'izah Al-Mukminin oleh Imam Al-Ghazali.


Bulu Binatang
Soalan:
Apakah hukum bagi bulu binatang yang halal dan yang haram dimakan, bagaimana sekiranya ia terlekat pada tempat sembahyang?
. Zulkifli
Jawapan:
Untuk menjawab pertanyaan ini kami kemukakan ayat Al Quran dan hadith Rasulullah SAW. Allah berfirman dalam surah Al An'am ayat 145, maksudnya:
"Katakanlah: tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya semua itu kotor..."

Menurut Fiqih Sunnah Sayid Sabiq, mengenai bulu babi menurut pendapat ulamak yang terkuat dibolehkan untuk diambil sebagai benang jahit. Begitu juga halnya dengan anjing, Rasulullah SAW bersabda:
"Mensucikan bejanamu yang dijilat oleh anjing ialah dengan mencucinya sebanyak tujuh kali, mula-mulanya dengan tanah." (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Baihaqi)

Mencuci dengan tanah maksudnya ialah mencampurkan ke dalam air hingga menjadi keruh. Jika ia menjilat ke dalam bejana yang berisi makanan kering, hendaklah dibuang mana yang terkena jilatan dan sekelilingnya. Sedang sisanya tetap digunakan kerana suci. Mengenai bulu anjing, maka pendapat yang terkuat ia adalah suci, dan tak ada alasan megatakan ianya najis. Seandainya bulu binatang yang terlekat pada tempat solat itu melekat kotoran atau najisnya sehingga mengotorkan tempat solat maka tidak sah solat, kerana salah satu syarat-syarat sah solat hendaklah bersih badan, pakaian dan tempat daripada najis.


Haji Ibubapa
Ibubapa saya telah lama meninggal dunia dan belum sempat mengerjakan haji. Ibu saya pernah semasa hayatnya menyatakan hasrat untuk mengerjakan haji. Saya juga pada masa ini belum lagi mengerjakan haji. Yang manakah perlu diutamakan? Mengupah orang mengerjakan haji bagi pihak ibubapa saya ataupun mengumpul wang yang secukupnya untuk saya mengerjakan haji dahulu kemudian barulah sekiranya ada wang mengupah orang mengerjakan haji untuk ibubapa?

Jika duit tersebut adalah dari usaha kita maka wajib mendahulukan untuk diri sendiri.

Baru-baru ini terdapat sedikit perselisihan faham di mana ada orang mengatakan kami anak beranak wajib mengerjakan haji untuk ibubapa dengan menggunakan harta yang telah diwariskan kepada kami. Mengikut ustaz tersebut, harta yang diwariskan itu pada asalnya adalah harta ibubapa maka wajarlah anak-anak mereka menggunakan harta tersebut untuk tujuan mengerjakan haji ibubapa dan bukan haji anak-anak itu sendiri.

Hukum wajib haji diantaranya adalah mampu dari segi kewangan, sihat tubuh badan dan aman perjalanan. Jika ibubapa saudara pernah mampu (sehingga dapat meninggalkan pusaka) ketika hidup dahulu, maka telah jatuh hukum wajib haji keatas mereka. Oleh yang demikian hendaklah diasingkan secukupnya dari harta peninggalannya untuk upah haji mereka, sebelum harta tersebut dibahagi-bahagikan kepada pewaris-pewaris mengikut far'aid.


Hukum Bermain Alat Muzik Bertali
Soalan:
Apakah hukumnya seseorang Islam bermain benda bertali seperti gitar?
Tamimi, Batu Caves
Jawapan:
Bermain alat muzik bertali seperti gitar dan lain-lain adalah haram. Ini merupakan pendapat yang telah disepakati oleh madhhab empat. Sesiapa yang berterusan bermain dengan alat-alat muzik tersebut, dianggap fasik dan tidak boleh diterima penyaksiannya di Mahkamah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Al-Bukhari menjelaskan akan timbul satu golongan dari umat Muhammad yang akan menghalalkan arak, khinzir, sutera dan alat-alat muzik.
Dalam Surah Luqman ayat 6 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan di antara manusia ada yang suka menggunakan hartanya untuk membeli "LAHWA AL-HADIS" untuk menyesatkan orang ramai dari agama Allah". Lahwa Al-Hadis yang disebutkan di dalam ayat ini ialah alat-alat muzik dan hiburan yang melalaikan. Inilah yang dinyatakan oleh Mujahid, Hassan, dan Ibn Umar. Alat muzik yang bertali seperti gitar dan lain-lain samada fesyen lama mahupun yang baru adalah haram bermain dengannya dalam apa jua keadaannya.

1. Samada alat muzik itu mengeluarkan alunan yang rancak atau berirama perlahan.
2. Samada dari barat atau timur.
3. Samada pendengarnya lelaki mahupun perempuan.
4. Samada di majlis keramaian seperti perkahwinan, hari raya, waktu perang dan lain-lain.
5. Samada disertai dengan lagu atau tidak.
6. Samada mendengar secara langung atau melalui pita rakaman.

Selain itu haram berjual beli alat muzik dan mengadakan kilang-kilang bagi memprosesnya, meminjam, mempelajari dan mengambil upah dari mengajar bermain muzik, membuka sekolah muzik dan membuat buku-buku panduan bermain muzik. Kerana kesemuanya adalah jalan kearah penggunaan muzik.

Sila rujuk buku Adab Mendengar Irama dan Lagu (proses penerbitan)


Hukum Klon Manusia, Binatang Dan Tumbuh-tumbuhan
Soalan:
Apakah sebenarnya klon? Apa pula hukumnya mengklonkan manusia dan binatang? Harap ustaz dapat menyelesaikan persoalan saya ini.....
Izzat, Dungun
Jawapan:
Klon ialah proses menghasil dan menyalin sesuatu makhluk yang baru dari spesis makhluk yang sama dengannya melalui proses pengembangan sel-sel tertentu melalui kaedah tertentu. Ia melibatkan klon manusia, binatang dan juga tumbuh-tumbuhan. Organisma hidup terbina daripada unit-unit sel. Begitu juga dengan badan manusia. Setiap sel itu
mengandungi molekul-molekul asid nukleik deoksiri (DNA). Proses klon biri-biri umpamanya dilakukan dengan mengambil sel daripada biri-biri dewasa.
Sel yang lengkap dengan DNA ini kemudiannya diletakkan di dalam kultur iaitu bahan genetik sel dengan kurang makanan supaya ia berhenti membahagi dam mendormankan gen-gennya. Satu sel daripada telur biri-biri yang lain yang belum disenyawakan diambil. Semua ciri DNA dalam telur kedua ini dibuang. Dua sel ini kemudian diletakkan berdekatan dan diberi denyutan eletrik, menyebabkan kedua-duanya bergabung. Denyutan eletrik kedua memulakan pembahagian sel dan emberio yang terhasil setelah beberapa hari diletakkan ke dalam rahim biri-biri tumpang.

Proses mengandung berjalan seperti biasa dan seterusnya seekor biri-biri yang kandungan gennya sama seperti biri-biri pertama dihasilkan. Begitulah juga proses klon yang melibatkan manusia. Dalam Islam klon tumbuh-tumbuhan bagi meningkatkan lagi mutu pengeluaran pertanian tidak menjadi kesalahan, malah hukumnya adalah harus. Begitu juga klon binatang, asal sahaja tidak memudaratkan binatang tersebut. Tetapi klon manusia tidak dibenarkan sama sekali, malah hukumnya adalah haram kerana memudaratkan kehidupan manusia itu sendiri.

Dalam Islam setiap kemudaratan itu perlu dihilangkan. Ini kerana klon akan melibatkan berlakunya perubahan kepada struktur kehidupan manusia. Manusia membiak melalui proses beranak pinak. Ini adalah sunnah Allah yang telah ditetapkan kepada mereka. Merosakkan sunnah ini akan menimbulkan kemudaratan kepada manusia itu sendiri. Selain itu klon juga boleh menghapuskan sistem kekeluargaan dan menimbulkan masalah dalam penentuan keturunan bayi yang dilahirkan melalui cara ini. Al-Quran melarang kita mencampakkan diri kita kepada kemusnahan.


Hukum Lelaki Memakai Emas
Soalan:
Apakah hukumnya seorang lelaki memakai perhiasan seperti cincin (emas/suasa) dan adakah sah solat Lelaki tersebut kerana mamakai cincin tersebut ketika menunaikan solat?
Normali, KL
Jawapan:
Rasulullah SAW membolehkan kaum wanita memakai perhiasan emas dan sutera dan melarang bagi kaum lelaki memakainya. Jadi haram bagi lelaki memakai perhiasan sutera dan emas. Seandainya terbawa dalam solat, maka solat tetap sah, kerana emas bukan benda najis dan perkara yang menyebabkan membatalkan solat. Cuma perbuatan memakai perhiasan itu yang tercela atau berdosa. Wallahu A'lam.


Hukum Merokok
Isu pengharaman merokok telah mendapat perhatian meluas dari masyarakat Islam Malaysia bukan sahaja kerana hukum pengharaman yang ditetapkan tetapi juga kerana perbezaan pendapat diantara Majlis Ugama Islam negeri-negeri.

Persoalan saya bukanlah dari segi mengapa rokok diharamkan tetapi dari segi yang mana satu nak ikut. Sekiranya sesuatu negeri itu telah mengeluarkan fatwa bahawa merokok itu haram, adakah penduduk di sesuatu negeri itu tertakluk kepada hukum yang telah ditetapkan pada peringkat negeri itu. Sekiranya ini benar, adakah haramnya merokok di negeri itu sama seperti haramnya berjudi, menipu, dan sebagainya? Bagaimana pula sekiranya kita pergi berlancong ke negeri lain yang tidak mengharamkan merokok? Adakah dengan secara automatik hukum merokok itu tidak lagi menjadi haram?

Baru-baru ini Majlis Fakwa Kebangsaan (kalau tak salah saya), telah menyatakan bahawa merokok itu haram. Macammana pulak dengan negeri-negeri yang masih tidak mengharamkan merokok?

Saya amatlah berharap pihak ustaz memberi penjelasan tentang yang mana perlu diikut dan apa yang perlu dilakukan. Buat pengetahuan ustaz, saya tidaklah merokok, tetapi jika jelas haram hukum merokok, maka wajarlah saya menghalang penghuni rumah saya daripada merokok.

Hukum yang berbeza dari satu negeri ke satu negeri lain adalah kerana nas yang digunakan untuk menyokong hujah mereka adalah dari sumber yang berlainan. Sebagai umat Islam dari golongan awam, apabila dalam keadaan was-was, maka hendaklah kita mengambil jalan yang lebih berat, iaitu dalam persoalan ini, baiklah kita ambil hukum merokok itu sebagai haram. Apabila telah mengambil sesuatu pegangan, maka hendaklah dipegang dengan tetap walaudimana sekalipun kita berada.

Hujah yang mengharamkan merokok adalah berdasarkan perkara-perkara berikut:


Kesihatan
Merokok telah dibuktikan boleh menyebabkan penyakit barah yang boleh membawa maut. Maka jika dilihat kepada firman Allah dalam Surah AlBaqaroh Ayat 195 yang bermaksud "..dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu kedalam kebinasaan..." adalah haram melibatkan diri kita dengan sesuatu yang boleh membinasakan diri sendiri.
Membazir
Merokok adalah suatu aktiviti yang jelas mendatangkan pembaziran. Sepertimana hujah diatas, terdapat juga ayat yang menegah umat Islam dari membazir. Engkar kepada perintah AlQuran hukumnya adalah haram.
Bantuan kepada ekonomi Yahudi
Kebanyakan syarikat pengeluar rokok adalah kepunyaan Yahudi. Membeli rokok secara tidak lansung adalah menolong syarikat mereka.
Segala kemungkaran wajib ditegah dimana cara menegahnya bergantung kepada iman seseorang. Tegahan boleh dibuat dengan kekuatan, percakapan atau yang paling lemah ialah dengan hati.


Jenis Debu / Tanah Untuk Tayamum
Soalan:
Dalam situasi krisis air yang melanda di tempat saya ketika ini, kemungkinan bertayamum terpaksa dilaksanakan demi untuk melakukan solat. Namun kemusykilan saya adalah dari segi debu yang bagaimanakah harus saya gunakan memandangkan persekitaran tempat kediaman saya yang tidak bersih?
. Safiron
Jawapan:
Allah jadikan permukaan bumi ini bagi umat Nabi Muhammad suatu rahmat yang boleh digunakan untuk membersihkan diri dari hadas dan najis. Rasulullah SAW bersabda: Dari Jabir bin Abdullah bahawa Nabi SAW bersabda:
"Aku diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada seseorangpun sebelumku. Aku diberi kemenangan terhadap musuh sejauh perjalanan sebulan, dan dijadikan bumi ini sebagai dan alat bersuci bagiku, maka siapa saja bertemu waktu solat hendaklah ia solat di tempat itu..." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Sayid Sabiq; boleh tayamum dengan tanah yang suci begitupun dengan segala yang sejenis tanah seperti pasir, batu, batu bata, berdasarkan firman Allah SWT: "Hendaklah kamu bertayamum dengan sha'id yang baik". Sedang ahli-ahli bahasa telah sepakat bahawa yang dimaksudkan dengan sha'id itu ialah permukaan bumi, baik ia berupa tanah mahupun lainnya.
(Sila rujuk Bulughul Maram oleh Al Hafidz Bin Hajar Al Asqalani dan Fikih Sunnah Sayid Sabiq, bab tayamum)


Kedudukan Dalam Jemaah
Soalan:
Bagaimanakah kedudukan/jarak imam dan makmum dalam sembahyang berjemaah:
i) suami/isteri
ii) sesama perempuan
Zainal, KL
Jawapan:
Jarak antara imam dengan makmum dalam solat berjemaah adalah sebagaimana yang diamalkan oleh masayarakat kita sekarang. Itulah yang terbaiknya. Ulamak syafii menjelaskan jika imam berada di atas menara masjid manakala makmum pula berada dalam msjid solat tetap sah kerana keduanya masih berada dalam bangunan yang sama. Jika imam berada di dalam masjid, manakala makmum berada di luar masjid maka jarang antara imam dengan makmum jangan melebihi dari 300 hasta.
Jika makmum menunaikan solatnya lebih dari jarak ini, maka hukum solatnya tidak sah. Jika imam menunaikan solat jamaah dengan hanya seorang makmum, maka makmum hendaklah berdiri disebelah kanan imam kebelakang sedikit. iaitu jarak antara tumit imam dengan hujung jari kaki makmum ialah sekadar satu jengkal sahaja. Demikian yang disebut di dalam kitab syarah Muhadhdhab oleh imam An-Nawawi.


i) Suami/isteri
Apabila suami menjadi imam manakal isterinya menjadi makmum, maka jarak antara imam dengan makmum dalam kes ini adalah seperti yang biasa kita lihat sekarang, cuma isteri hendaklah berdiri di sebelah kiri suaminya. Itu sahaja.
ii) Sesama perempuan
Jarak imam dengan makmum dalam solat jamaah yang diimami oleh orang perempuan. sesetengahnya berpendapat imam perempuan berada dihadapan sedikit dari makmum, tetapi yang afdalnya menurut imam An-Nawawi di dalam Syarah Muhaddhabnya, imam perempuan hendaklah berdiri di tengah-tengah saf yang pertama, kemudian jarak antara saf demi saf adalah sebagaimana yang biasa kita lihat sekarang.

Sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Ibadah Solat DN 200


Kewajipan Solat Jumaat kepada Banduan

Soalan:
Apakah wajib orang-orang banduan di dalam penjara menunaikan solat jumaat. Sedangkan kesempatan dan tempat telah tersedia. Bagaimana pula pendapat Majlis Fatwa didalam hal ini?
Zamri, Kajang
Jawapan:
Solat jumaat hukumnya adalah fardu ain. Ia diwajibkan ke atas setiap orang islam yang sudah cukup syarat-syaratnya. Firman Allah dalam surah Al-Jumuah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman jika kamu diseru untuk menunaikan soat jumaat hendaklah kamu segera menunaikannya dan tinggalkanlah urusan jual beli". Ayat ini dengan jelas mewajibkan setiap umat Islam menunaikan solat jumaat.
Solat jumaat biasanya ditunaikan di masjid jamik atau surau yang diisytiharkan oleh pihak berkuasa boleh digunakan untuk solat jumaat. Berhubung solat jumaat di dalam penjara. jika di dalamnya ada kemudahan untuk menunaikannya dan tidak memudaratkan urusan pengawalan para banduan, manakala pihak berkuasa agama pula membenarkan pelaksanaan solat tersebut di dalam penjara, maka hukumnya wajib dilaksanakan di dalam penjara tersebut. Orang yang meninggalkannya dianggap berdosa.

Sila rujuk buku Panduan Lengkap Fardhu Ain DN 052 , Bimbingan Lengkap Fardhu Ain DN 034



Wallahu A'lam

.
Anda Bertanya?
Islam Menjawab!


Makan Makanan yang Tidak Disembelih Cara Islam
Soalan:
Saya bekerja dikapal yang belayar diserata dunia. Makanan daging dan ayam dikapal tidak disembelih secara islam ,kerana pelabuhan yang disinggahi adalah negara yang tidak langsung ada daging yang halal. Kapal terpaksa membeli kerana pelayaran kami dilautan memakan masa berbulan bulan dan pelabuhan berikutnya tidak juga memungkinkan mendapat makanan daging halal. Bagaimanakah hukum orang islam yang terpaksa makan daging yang tidak disembelih itu. Makanan lain saperti sayur dan ikan adalah terhad
dan tiada bekalan yang mencukupi?
Roslan ,KL
Jawapan:
Memakan makanan yang tidak disembelih hukumnya sama dengan memakan bangkai, sedangkan memakan bangkai itu hukumnya haram. Kecuali dalam keadaan darurat maka makanan yang haram tadi hukumnya harus untuk dimakan. Yang dimaksudkan dengan darurat disini seperti dalam berjuang, menempuh perjalanan yang panjang serta dalam keadaan lain yang bukan bertujuan untuk berbuat maksiat. Namun dalam masalah pekerjaan bukanlah termasuk dalam kategori darurat, kerana masih banyak pekerjaan lain yang dapat menyelamatkan diri kita daripada memakan yang tidak disembelih cara Islam. Kecualilah tidak ada pilihan lain, dan itu satu-satunya pekerjaan yang ada, namun begitu kita dituntut merasa tidak redha memakan benda yang haram tadi.
Berusahalah untuk membetulkan kehidupan ke jalan yang benar dan diredhai Allah, kerana makanan yang kita makan itu akan menjadi darah daging. Jika ia terdiri dari makanan yang haram sudah tentu akan menimbulkan mudarat dalam diri kita bahkan di akhirat kelak akan dicuci dengan api neraka. Oleh sebab itu sebelum ia berlarutan berusahalah untuk menghindarinya agar kehidupan kita diberkati Allah di dunia dan akhirat, insya Allah.




Wallahu A'lam

.
Anda Bertanya?
Islam Menjawab!


Makmum Terbatal Wuduk
Soalan:
Di waktu bersembahyang berjemaah dengan hanya seorang makmum. Jika makmum tersebut terbatal wuduknya, apa yang perlu dilakukan oleh imam tersebut?
Ajau, Subang
Jawapan:
Jika seseorang melakukan solat jemaah yang terdiri seorang imam dan seorang makmum dalam masa yang sama makmum terbatal solatnya, maka makmum hendaklah keluar dari solat tersebut dan segera berwuduk kembali. Jika makmum sempat untuk solat berjemaah dengan masbuk maka itu lebih baik, jika tidak sempat kerana imam telah membaca salam, maka solatlah sendirian. Sedangkan kedudukan imam ketika makmum terbatal wuduknya hendaklah meneruskan solatnya.


Makruh yang Membawa Haram

Soalan:
Adakah sesuatu hukum boleh berubah apabila kerap dilakukan, seperti makruh boleh menjadi haram, contoh merokok makruh, makan bawang dsb.?
Halim, Kota Tinggi
Jawapan:
Sesuatu hukum itu boleh berubah. Antaranya disebabkan oleh perubahan keadaan. Umpamanya rokok. Kebanyakan ulamak terdahulu menghukumkannya sebagai makruh merujuk kepada baunya sahaja yang boleh mengganggu orang yang sedang menunaikan solat dan lain-lain, tetapi hukumnya sekarang sudah berubah. Ulamak di zaman ini khususnya majlis fatwa kerajaan Arab Saudi dan bebepapa tokoh ulamak di negara kita menghukumkannya sebagai haram memandangkan bahayanya dari sudut kesihatan.
Mereka menganggap orang-orang yang menghisap rokok sebagai golongan yang membunuh diri sendiri dalam jangka panjang , di samping membazirkan wang tanpa faedah. Kedua aktiviti ini adalah haram. Al-Qur'an dengan jelas melarang umatnya dari mencampakkan diri mereka ke lembah kemusnahan. Begitulah juga kepada perkara-perkara lain yang hukumnya adalah makruh tetapi apabila ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri, akal fikiran , nyawa, keturunan dan sebagainya, maka hukumnya adalah haram.

Sila rujuk buku Penghalang Kesucian Batin DN 109 Dosa Tanpa Nikmat DN220


Maksiat dibulan Ramadhan

ustaz,saya cuma nak tanya kenapa manusia masih lagi melakukan maksiat dibulan ramadhan sedangkan kita tahu bahawa syaitan telah dikurungkan (diikat). dan bagaimana cara mengatasinya.

Terdapat beberapa pendapat dalam mentafsirkan perkataan 'diikat' diatas. Ada pendapat yang mentafsirkan sebagai kurangnya ruang kearah kejahatan dan ada pendapat yang mengatakan Iblis (sumber kejahatan) diikat secara fisikal. Walau apapun, hati-hati manusia yang telah sebati dengan kejahatan tidak perlu bimbingan syaitan untuk melakukan maksiat. Maka kerana itulah masih terdapat manusia yang melakukan maksiat dibulan Ramadhan. Perkara ini dapat diatasi dengan menambahkan ibadat kepada Allah dengan seikhlas-ikhlasnya. Ibadat ini dapat mentarbiyahkan hati untuk menjadi cenderung kepada kebaikan dan benci kepada maksiat.


Maksud Bersuci
Soalan:
Bagaimanakah hukumnya seseorang itu mendirkan solat tanpa bersuci sampai salam?
Dan bagaimanakah caranya yang dikatakan bersuci sampai salam?
Hamba Allah, PJ
Jawapan:
Bersuci merupakan perkara yang mustahak diketahui oleh setiap individu muslim, kerana ianya merupakan kewajipan seseorang terhadap dirinya sendiri dan terhadap Allah SWT. Firman Allah SWT maksudnya:
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri". (Al Baqarah - 222)
Bersuci dapat dibahagi kepada dua iaitu bersuci daripada hadas, ini hanya tertentu pada bahagian badan, seperti mandi wajib, berwuduk dan tayammum. Kemudian bersuci daripada najis, ini berhubungan dengan badan, pakaian dan tempat. Jadi jika seseorang itu tidak bersuci ketika mengerjakan solat bererti solatnya tidak sah dan sia-sia sahaja.


Mandi Wajib ketika Gawat Air
Soalan:
Adakah cara lain selain mandi wajib untuk mengangkat hadas besar terutama ketika kegawatan air sekarang?
Ingintanya, KL
Jawapan:
Jika kita dalam keadaan berhadas besar, sedangkan tidak ada air untuk mandi hadas (memang benar-benar tidak air setelah diusahakan) maka cukuplah dengan bertayamum dengan tanah yang bersih. Perkara ini dijelaskan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Jika kamu sakit atau di dalam perjalanan atau salah seorang diantara kamu buang air besar atau bercampur dengan perempuan (jimak) dan tiada beroleh air, maka hendaklah bertayamum dengan tanah yang baik yakni sapulah muka dan kedua tanganmu". (An Nisa' 43)


Masalah Bencana Alam

Soalan:
Semenjak akhir-akhir ini, pelbagai masalah yang telah dan bakal melanda negara dan dunia termasuk bencana alam. Oleh yang demikian apakah kaitan peristiwa -peristiwa yang berlaku ini dengan penjelasan Allah dalam Al Quran mengenai hari kiamat?
Azinuddin, UNITEN
Jawapan:
Tentang bencana dunia yang menimpa manusia kini ia berkait rapat dengan bala Allah s.w.t yang diturunkan kepada mereka kerana kemusnahan yang dilakukan oleh manusia sendiri. Ini berdasarkan firmanNya dalam surah Ar Rum ayat ke 41 yang bermaksud :
"Telah berlaku kemusnahan di darat dan di lautan kerana perbuatan yang dilakukan oleh tangan tangan manusia".

Ia sebagai peringatan kepada manusia agar mereka insaf terhadap perlakuan mereka sendiri. Kekerapan kejadian bencana alam seperti gempa bumi, banjir, pembunuhan dan sebagainya juga merupakan tanda-tanda awal berlakunya kiamat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh imam Al Bukhari yang bermaksud :
"Tidak berlaku kiamat sehinggalah banyak terjadi kejadian gempa bumi".
Sila rujuk buku Menunggu Kedatangan Imam Mahdi, Dajjal & Nabi Isa as. DN 189


Masalah dalam tawaf

Apa hukumnya bercakap kepada seorang kawan ketika sedang melakukan tawaf di Kaabah... Selain itu, apa hukumnya mencium kelambu kaabah yang wangi di muntazam setelah selesai melakukan tawaf rukun dalam keadaan ihram.

Salah satu dari syarat-syarat tawaf adalah dengan niat ibadat setiap masa dalam tawaf itu.Tidak sah sekiranya betujuan mencari kawan atau sebagainya. Dalam masalah yang ditanya, sekiranya bercakap itu tidak mengubah niat tawaf tersebut dan tidak membuat diri kita hilang dari ibadah itu maka tidak mengapa, contohnya menjawab salam. Tetapi sekiranya sebaliknya, bercakap itu menghilangkan kekusyukan kita atau menghilangkan tumpuan kita kepada ibadat tawaf itu, maka pusingan tawaf tersebut batal dan perlu diulang pusingan tersebut (perlu ditambah jumlah pusingan).


Masalah Jam Emas
Uztaz, saya ada menerima hadiah jam tangan dari makcik saya tapi adik saya ada terbaca dalam surat khabar yang mengatakan jam berjenama seperti yang saya terima itu ada disaluti dengan emas. Apakah hukumnya ustaz, walaupun saya tidak berniat menganggapnya sebagai satu barang perhiasan.

Ada pendapat yang mengatakan haramnya dipakai oleh lelaki adalah emas tulin dan bukan saduran atau salutan. Lebih-lebih lagi seperti jam yang mana ianya mempunyai kegunaan yang lain dan bukan semata-mata hiasan.


Masalah Makanan

Saya ada masalah megenai makanan apa yang halal dimakan. Boleh kita memakan makanan yang pada asalnya halal tetapi dimasak di tempat yang sama dengan makanan yang haram. Contohnya di Mcdonald, di mana burger ikan dan burger-burger yang lain di masak dengan minyak yang sama dan juga di tempat yang sama.

Dan bolehkah kita memakan daging yang bukan di sembelih oleh orang Islam, ini kerana saya mendapat tahu yang kita boleh memakan daging yang di sembelih oleh ahli-ahli kitab. Tetapi memandangkan, ahli-ahli kitab pada masa sekarang mengubah kitab mereka mengikut suka mereka, masih bolehkah kita memegang pada hukum ini.

Bolehkah kita memakan makanan seperti biskut yang mengandungi bahan-bahan yang tidak halal kerana saya ada terbaca yang kita boleh memakannya kerana ia adalah samar. Dan jika boleh, tolong senarai bahan-bahan yang dianggap tidak halal.

Sila rujuk Siri 3 untuk makanan yang diragui halalnya. Perlu diingat bahawa adalah lebih baik kita tinggalkan yang was-was itu. Sekiranya pasti bahawa minyak gorengan itu telah bercampur najis maka tinggalkanlah kecuali untuk menjaga nyawa.

Sila rujuk siri 4 untuk jawapan kepada masalah sembelihan.

Memakan benda yang samar hukumnya, dibolehkan, hanya sekiranya tiada pilihan lain dan memakan benda yang hukumnya haram hanya dibolehkan untuk menjaga nyawa.


Masalah menyeru solat

Ustaz saya mempunyai masalah untuk menyakinkan kawan saya betapa pentingnya solat, tetapi pada awalnya mereka menunjukkan tanda-tanda postif, tetapi kemudian harinya pula saya dapati, beliau tidak turun untuk bersolat. Dalam hati saya beliau sengaja mempermain-mainkan solat, adakah benar mereka yang memainkan solat ini Allah akan menyempitkan hidup mereka dan apakah pandangan ustaz mengenai hukum berkat atau tidak berkat hidup orang yang meninggalkan solat. Bagaimana pula hukum orang yang solat tetapi tidak berterusan, contohnya subuh, zohor dan Asar tetapi solat lain dia tidak lakukan bagi mereka cukup dengan solat ini mendekatkan diri mereka dengan Allah dan sekadar memenuhi syarat sebagai umat yang bernama Islam. Adakah mereka ini malas atau sekadar beranggapan pada dasarnya hidup ini hanya berpandukan logik dan tidak perlu fikir banyak-banyak kerana yang penting "ENJOY".... tua baru beramal... Adakah benar Allah menyayangi anak-anak ketika mudanya ia beramal dan amat membenci mereka yang tua baru untuk beramal.

Berdakwah adalah penuh dengan cabaran. Kadang-kadang kita berasa syukur kerana menang tetapi pada ketika lain kita amat kecewa apabila kalah. Tetapi kekecewaan tidak sepatutnya membawa kepada putus asa. Hanya Allah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya dan kita hanya disuruh berusaha. Teruskanlah usaha anda dan berdakwahlah secara berhikmah.

Solat memberi kekuatan jiwa kepada pelaku nya. Ketenteraman setiap kali solat yang khusu' dapat membina hati yang kental dan kukuh dari segala masalah. Sekarang ini dengan persekitaran yang amat menekan, solat adalah jalan keluar yang paling berkesan. Mungkin kerana ini lah maka dikatakan meninggalkan solat itu akan menyempitkan hidup atau tidak berkat hidupnya, kerana walaupun zahirnya mewah dan lega namun jiwa rohaninya tertekan dan kosong.

Begitulah juga keadaannya dengan orang yang mendirikan solat secara bermusim. Yang didirikan akan diberikan pahala jika betul syarat-syaratnya dan yang ditinggalkan masih berdosa dan akan tertanggung diatasnya sehinggalah diselesaikan.

Nasihatkanlah mereka dan berdoalah supaya Allah memberikan hidayah kepada mereka dan semuga solat yang dilakukan ini sebagai permulaan kepada solat yang lengkap. Mereka selalunya tidak boleh ditegur secara kasar kerana akan memberontak dan tidak akan mengerjakan solat lansung. Maka gunakanlah hikmah dalam menasihati mereka. Seperti mengajak mereka berjemaah setiap kali kita hendak bersolat. Biar bunyinya seperti bergurau tetapi mungkin suatu hari mereka akan mengikut. Cara ini juga dapat mengingatkan mereka akan waktu solat yang kadang-kadang mereka terlupa.

Ramai yang berhajat untuk beramal ketika tua, masalahnya kita sendiri tidak tahu apakah ada tua untuk kita. Apakah berpadanan untuk enjoy didunia yang sementara ini dengan membayar derita di akhirat yang kekal nanti? Secara logiknya juga, segala yang dilarang oleh ugama itu adalah semua perkara yang memabawa keburukan kepada kita. Minum arak, zina, rasuah dan lain-lain lagi jika bukan ugama yang melarang sekalipun, memang wajar kita tinggalkan. Semua manusia yang berfikiran waras akan bersetuju dengan kenyataan ini.

Beramal ketika muda adalah lebih baik kerana kita mempunyai masa yang banyak untuk mengerjakannya dan dengan tenaga yang cukup. Amalan kita juga tidak hanya tertumpu kepada ibadat khusus (sembahyang, puasa dsb.) semata-mata, namun dapat juga kita beramal dalam bidang-bidang yang lain seperti kemasyarakatan, muamalah, dan sebagainya.


Masalah Puasa yang tertinggal


Ustaz, isteri saya masih belum menggantikan puasa pada tahun yang lepas. Masaalahnya, dia sekarang sedang berbadan dua dan tidak dapat berpuasa kerana selalu muntah.

Soalan :

Bolehkah dia menggantikan puasa itu selepas dia bersalin ? Yakni mencampurkan puasa yang ditinggalkan pada tahun lepas dengan puasa yang akan ditinggalkan pada tahun ini ?

Boleh tetapi puasa yang ditinggalkan pada tahun lepas hendaklah diganti dan juga dikenakan fidyah.

Adakah dia perlu mengandakan hari yang perlu diganti ? Dia masih ada 2 hari yang perlu diganti untuk puasa pada tahun lepas. Jika dia melambatkan gantian sehingga selepas Ramadhan adakah dia perlu mengganti 4 hari puasa untuk dua hari yang ditinggalkan pada tahun lepas.

Tidak, dia hanya perlu menggantikan 2 hari dan membayar fidyah untuk dua hari itu sahaja. Jika dia gagal juga untuk menggantikan puasanya pada tahun itu, maka di perlu menggandakan fidyahnya sahaja iaitu fidyah untuk empat hari dan begitulah seterusnya jika masih gagal sehingga Ramadhan yang berikutnya. Setiap langkahan Ramadan dikenakan fidyah sebanyak jumlah hari yang belum diganti. Fidyah yang dikenakan adalah satu cupak beras untuk satu hari diberikan kepda fakir miskin.

Adakah dia perlu membayar fidyah untuk puasa yang ditinggalkan pada tahun lepas ?

Ya. Sila lihat jawapan diatas.

Apakah fidyah yang perlu dibayar ?

Secupak beras untuk satu hari yang ditinggalkan.

Bagaimana hendak membayar puasa yang telah ditinggalkan, tetapi tidak tahu banyaknya hari yang ditinggalkan sejak beberapa tahun lepas.

Perlu dianggarkan jumlah harinya dan dibuat kiraan seperti dibawah. Dalam membuat anggaran, lebihkanlah supaya yakin bahawa semua puasa yang tertinggal dapat diganti.

Tahun 94 dianggarkan tidak berpuasa selama 10 hari. Tetapi selepas Ramadhan telah diganti sebanyak 3 hari, berbaki sebanyak 7 hari. Ramadhan 95 tertinggal sebanyak 10 hari dan diganti pula sebanyak 5 hari selepas Ramadhan. Ditahun ini kita kena bayar fidyah sebanyak 7 cupak beras diatas 7 hari (tahun 94) yang belum diganti itu. Sehingga Ramadhan 96 kita masih tidak menggantikan puasa tersebut. Maka tahun 96 ini kita kena bayar fidyah sebanyak 12 cupak beras iaitu 2 cupak untuk puasa 94 dan 10 cupak untuk puasa 95. Jumlah puasa yang perlu diganti adalah 12 hari.

Sekiranya kita tertinggal puasa dan tidak pernah menggantikannya seperti berikut:

1994 - tertinggal 15 hari
1995 - tertinggal 20 hari fidyah 94 -- 15 cupak
1996 - tertinggal 20 hari fidyah 94 -- 15 cupak, 95 -- 20 cupak = 35 cupak
1997 - tiada tertinggal puasa, (selepas ramadhan) kena ganti 55 hari dan kena beri fidyah sebanyak 35 cupak (dari diatas) campur 15 cupak (94), 20 cupak (95), 20 cupak (96) = 90 cupak

Jika masih kurang jelas, sila berikan jumlah anggaran hari dah tahun-tahun berkenaan supaya dapat kami tolong kira.


Memberus Gigi Ketika Berpuasa
Soalan:
Apakah kita dibolehkan memberus gigi selepas waktu subuh ketika berpuasa?
Fatimah Azzahra, KL
Jawapan:
Sengaja bersugi atau memberus gigi dalam berpuasa dengan benda basah atau kering tidaklah membatalkan puasa. Tiada ada perselisihan para ulama dalam masalah ini. Namun menurut Imam Syafei memakruhkan memberus gigi setelah tergelincir matahari dengan tujuan untuk menghilangkan bau mulut.
Untuk lebih jelas sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN054


Melewat-lewatkan Waktu Solat
Soalan:
Apakah hukum melewat-lewatkan sembahyang dan sahkah sembahyang itu?
Az, KL
Jawapan:
Seorang muslim atau muslimah tidak harus melewat-lewatkan masa solat fardhunya bahkan ada yang hingga terluput dari waktunya. Sebaliknya wajib atas muslimin dan muslimat yang telah mukallaf untuk menunaikan solat tepat pada waktunya selagi ianya berkemampuan. Segala jenis pekerjaan tidak dapat menghalang bagi membolehkannya untuk melewat-lewatkan mengerjakan solat.
Demikian juga tentang najisnya pakaiannya atau kerana kotornya tidak boleh dijadikan alasan atau uzur bagi melewatkannya. Jadi berdosa hukumnya bagi orang yang melewat-lewatkan waktu solatnya. Tentang kedudukan solatnya sah jika memenuhi syarat-syarat dan rukunnya.


Memakai Gincu di Bulan Ramadan
Soalan:
Pada bulan Ramadhan ini apakah hukumnya kalau seorang wanita ketika berpuasa memakai gincu 'Lipstik'?
Norafida, KL
Jawapan:
Wanita yang berhias diri seperti memakai wangian, lipstik dan sebagainya ketika ke luar rumah hukumnya berdosa, tak kiralah bulan biasa ataupun bulan Ramadhan. Kerana perbuatan seperti itu hanya dilakukan oleh wanita-wanita pada zaman jahiliyah. Namun berhias untuk menyenangkan hati suami, wajib hukumnya, itupun hindarkan memakainya ketika di siang bulan Ramadhan.


Memakai rantai.

Assalamualaikum ustaz. Soalan saya ialah, apakah hukum bagi seorang lelaki Islam memakai rantai(tidak kira sama ada ia emas,perak,tali,benang kasar dan lain lain)?

Haram bagi lelaki memakai emas. Bagi benda-benda lain, sekiranya memakai itu untuk meniru perempuan atau meniru pakaian keugamaan ugama lain (seperti gelang yang dipakai oleh Hindu) ianya juga haram, dan sekiranya untuk azimat, ianya syirik.


Memakan Harta Anak Yatim
Soalan:
Seseorang yang sentiasa memakan harta anak yatim,tanpa pengetahuan anak-anak tersebut tetapi menunaikan umrah dan sentiasa mendirikan ibadat solat. Adakah segala amalannya ini di berkati Allah sedangkan dia seorang yang terlalu arif tentang agama ?
Is, Seremban
Jawapan:
Memakan harta anak yatim secara tidak hak adalah dosa besar, namun jika diambil dengan ketentuan untuk proses penjagaannya atau sebagai upah penjagaannya tidak mengapa. Dengan syarat tidak melebihi dari ketentuan yang dibolehkan syarak. Jika seseorang yang menjaga anak yatim kemudian mengambil harta mereka dengan cara zalim iaitu mengambil dengan sesuka hatinya bahkan tanpa izin dan diketahui oleh anak tersebut maka laknat Allah akan menimpa orang tersebut. Banyak ayat Al Quran dan hadis Rasulullah SAW menjelaskan tentang seksaan dan balasan bagi orang yang memakan harta anak yatim dengan cara zalim ini.
Firman Allah SWT maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim itu secara zalim, sama dengan memasukkan api ke dalam perut mereka. Dan mereka yang demikian akan ditempatkan di dalam neraka Sa'ir". (An Nisa' 10)

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:"Dari Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Empat perkara yang Allah berhak untuk tidak memasukkan orang-orang tersebut ke dalam syurga dan tidak memberikan kenikmatan kepada mereka, iaitu orang yang menjadi pecandu minuman keras, pemakan riba, pemakan harta anak yatim secara tidak sah dan anak yang derhaka kepada ibu bapanya".

Mengenai amalan yang dimaksudkan hanya Allah saja yang mengetahui apakah amalannya tersebut diterima ataupun sebaliknya. Mungkin juga pada zahirnya kita melihat bahawa orang tersebut memakan harta anak yatim yang dijaganya padahal ia menggunakan hartanya sendiri. Perkara ini sukar untuk kita tentukan yang jelas jika ia memakan harta anak yatim itu dengan cara zalim bukan atas keredhaan anak tersebut maka hukumnya haram dan berdosa. Namun begitu kita dituntut agar berbaik sangka dan menghindarkan perbuatan buruk sangka kerana yang demikian menyelamatkan kita daripada sifat yang tercela (fitnah).


Memakan khinzir

Apakah hukum memakan khinzir dalam keadaan darurat?

Memakan khinzir atau babi hukumnya adalah haram walaupun didalam keadaan darurat. Walaubagaimanapun kelonggaran diberikan sekiranya dengan tidak memakannya, akan membawa maut. Ketika itu memakannya dibolehkan hanyalah sekadar menjaga nyawa dan bukan untuk mengenyangkan.











No comments: