Powered By Blogger

Soal Jawab 3

Sempadan waktu sembahyang


Semasa saya sedang sembahyang Zohor terdengar azan menandakan masuknya waktu Asar. Semasa itu, saya masih lagi didalam rakaat pertama. Adakah sembahyang Zohor saya itu terbatal dan perlukah saya mengulanginya lagi?

Mengikut mazhab Syafie solat itu dikira sah jika dapat lengkap satu rakaat didalam waktunya. Ini berdasarkan hadith riwayat Abu Hurairah yang bermaksud " Barangsiapa mendapatkan satu rakaat dari solat, berarti ia telah mendapatkan keseluruhan solat itu". Maka jika sebelum sujud, solat itu dikira belum lengkap satu rakaat.


Sengaja Meninggalkan Doa Qunut
Soalan:
Jika saya sengaja tinggalkan doa Qunut dan buat sujud sahwi, sahkah sembayang subuh saya?
Sham, Kajang
Jawapan:
Mengenai masalah doa qunut ini ada baiknya kita mendapatkan kepastian tentang kedudukannya. Para ulama mujtahid berbeda pendapat tentang kedudukan Qunut ini. Menurut Imam Malik dan para pengikutnya mengatakan bahawa qunut Subuh itu adalah mustahab yakni sesuatu amalan yang amat disukai oleh Rasulullah SAW dan dibiasakannya. Bagaimanapun beliau mengatakan bahawa qunut Subuh itu boleh dibaca pada sebelum atau sesudah rukuk dan beliau juga tidak menentukan sebarang bacaan atau doa dalam qunut ini.
Menurut Mazhab Syafei, Qunut Subuh itu adalah suatu amalan yang amat disukai oleh Rasulullah SAW, tetapi tidak wajib hukumnya. Beliau mengatakan bahawa qunut itu dibaca selepas rukuk pada rakaat yang kedua. Menurut Imam Abu Hanifah pula, beliau berkata bahawa qunut pada solat Subuh bukan sunat hukumnya yang ada menurut beliau adalah pada solat Witir.

Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat bahawa qunut itu diamalkan oleh ketua negara yang berdoa untuk keselamatan bagi pasukan keselamatan negaranya. Pendapat Imam Malik dan imam Syafei di atas merujuk kepada riwayat Jemaah ahli hadith dari Anas bin Malik. "Bahawa Rasulullah SAW pernah qunut satu bulan lamanya, baginda mendoakan mereka (yang membunuh, yakni kabilah Ri'il, Zakwan dan 'Ushayyak atas perbuatan mereka yang telah membunuh 70 orang sahabat Nabi yang diutus oleh baginda untuk mengajar mereka tentang agama Islam) kemudian baginda menghentikannya. Adapun pada solat Subuh sentiasa baginda lakukan hinggalah baginda wafat. Ikrimah mengatakan bahawa peristiwa itu adalah merupakan titik awal permulaan qunut.

Dengan berbagai pendapat dan hadith tentang qunut ini, maka ulama Syafeiyah (mazhab Syafei) menetapkan bahawa qunut Subuh sunat hukumnya, bahkan ia lebih mendekati kepada wajib iaitu sunat muakkad. Oleh sebab itu apabila ia tertinggal hendaklah diganti dengan sujud sahwi. Jika kita pengikut Syafeiyah atau mazhab Syafei maka perlulah melakukan sujud sahwi jika tertinggal qunut dalam solat Subuh. Namun secara umum dapat dikatakan bahawa solat tetap sah jika doa qunut ini tertinggal atau sengaja ditinggalkan sebab qunut bukan termasuk dalam salah satu rukun solat.


Subject: Re: soalan mengnai semblihan ahli kitab
Date: Sat, 27 Jun 1998 16:42:13 +0000 (GMT)


On Mon, 18 May 1998, afaq wrote:

> ASAK,
> Mengenai sembelihan ahli-kitab :--- Di Saudi Arab, daging/ayam di import
> daripada negara seperti Brazil dan France (for economic reasons).
> Dianggap halal dan dimakan oleh orang ramai di restoran sana. Apabila
> saya tanya di sana tentang hukumnya daripada orang sana, saya dapat
> jawapan kata sembelihan orang ahli kitab boleh di makan. Dan itulah
> fatwa di sana.
> Daripada jawapan ustaz kepada Soalan No 1(sembelihan ahli kitab), saya
> dapat bahawa kita tak boleh makan daging/ayam yang dijual di Negara
> Barat. Kalau itu betul, macamana dengan fatwa di Saudi Arab? Saya minta
> ustaz tolong kaji dan selaraskan fatwa untuk mengelakkan kekeliruan.
> Wassalam
>

Assalamualaikum

Jawapan tersebut tidak berlawanan dengan fatwa Arab Saudi.

Sebenarnya jawapan itu bersifat khusus dan fatwa Arab Saudi bersifat
umum, jadi jawapan itu mentafsirkan fatwa Arab Saudi. Fatwa Arab Saudi
itu betul kerana itifaq ulama bahawa sembelihan ahli kitab boleh kita
makan dan jawapan tersebut menerangkan bahawa sembelihan ahli kitab yang
boleh di makan ialah sembelihan yang cukup syarat-syaratnya iaitu
sembelihan yang memutuskan memutuskan halqum dan urat-urat merehnya
dengan memakai umpama pisau.

Jika di matikan binatang tersebut dengan seumpama ditembak atau di cucuk
tengkuknya atau disuntik dengan ubat atau dimatikan di dalam bilik gas
maka tidak halal dimakan, walaupun dilakukan oleh orang Islam.

WaLLAHu'alam


Solat Berjemaah di Mukim Sendiri

Soalan:
Saya menetap di Seksyen 4, Shah Alam, Selangor. Saya selalu sembahyang berjemaah di Masjid Negeri Shah Alam kerana ia merupakan tempat yg terbaik untuk sembahyang berjemaah bagi saya. Masalah saya ialah bolehkah dan apakah hukumnya jikalau saya sembahyang berjemaah di Masjid Negeri sedangkan di Seksyen 4 pun mempunyai surau untuk berjemaah dan tempat itu dekat dengan kediaman saya?
Jefri, Shah Alam
Jawapan:
Solat berjemaah di mukim sendiri itu lebih afdhal dalam mengimarahkan surau atau tempat solat dimana kita tinggal. Namun jika kita merasakan berjemaah di surau tersebut hati kita tidak tenang disebabkan imamnya zalim, tidak amanah dan sebagainya, ataupun bacaannya tidak fasih sehingga merosakkan kosentrasi kita dalam berjemaah, maka dibolehkan untuk mencari tempat berjemaah yang lebih baik.


Solat di Kakilima Masjid.
Soalan:
Ketika bulan Ramadhan ini, ramai yang melakukan solat sunat tarawih sehingga surau2 & masjid2 penuh sesak. Dalam keadaan begini, ramai yang terpaksa sembahyang di kakilima masjid. Adakah ini afdhal kerana kita tahu tempat tersebut mungkin bernajis?
Fatimah Azzahra ,KL
Jawapan:
Jika kita yakin bahawa tempat itu bersih maka tinggalkan sifat was-was dan solatlah dengan mengharap rahmat Allah. Sebaliknya jika kita benar-benar yakin dan nampak dengan jelas bahawa tempat tersebut ada najis, maka bersihkanlah terlebih dahulu kemudian solatlah, semoga Allah memudahkan segala urusan ibadah kita.


Solat Jamak Takdim
Soalan:
Assalamualikum..
Saya bermusafir lebih daripada 2 marhalah. Apabila tiba waktu solat Zohor bolehkah saya solat Jama' Takdim sedangkan apabila saya sampai ke rumah nanti waktu Zohor masih ada lagi ataupun waktu Asar baru sahaja masuk. Jika keadaan itu berlaku adakah saya hanya boleh mengqasarkan sahaja solat Zohor iaitu tidak boleh Jama'?
Azizi, Serdang
Jawapan:
Jika perjalanan anda itu telah sampai dua marhalah maka anda boleh untuk melakukan solat jamak dan qasar. Jika perjalanan itu tidak sepenuhnya (bermusafir) dan ketika waktu Asar masuk telah sampai di rumah, maka lebih baik mengqasar solat Zohor tersebut.
(Untuk lebih jelas sila rujuk buku Panduan Musafir - Solat Qasar & Jama' DN084)


Solat Ketika Sesat Di Hutan
Soalan:
Bagaimana caranya hendak melakukan solat kalau kita tersesat di dalam hutan pada waktu malam?
. Safiron
Jawapan:
Jika kita tersesat di dalam hutan di waktu malam sedangkan kita tidak dapat mengesan arah kiblat ketika itu, maka kita boleh berpandukan bintang-bintang yang ada di langit. Namun jika bintang-bintang pun tidak kelihatan kerana cuaca mendung ataupun berjerebu, ketika dalam keadaan darurat itu maka kita bolehlah menghadap ke arah manapun yang kita anggap betul ketika itu, kerana yang paling penting saat itu adalah kiblat hati iaitu kepada Allah SWT.
Dari Amir bin Rabi'ah, ia berkata: Kami pernah bersama Nabi SAW. pada suatu malam gelap, lalu bingung menentukan arah kiblat, lalu kami solat. Maka tatkala terbit matahari, ternyata kami solat tidak menghadap kiblat. Lalu turun ayat "Maka kemanapun kamu menghadap, disitu ada keredhaan Allah." (Riwayat Tirmizi)

(Sila rujuk Bulughul Maram oleh Al Hafidz Bin Hajar Al Asqalani, bab syarat-syarat solat)


Solat Sunat 2 Rakaat ketika Masuk Masjid
Soalan:
Bolehkah kita sembahyang sunat 2 rakaat ketika khatib sedang membaca khutbah di hari Jumaat kerana saya selalu melihat orang yang terlambat datang mendengar khutbah terus sembahyang sunat 2 rakaat, adakah pahala Jumaatnya tiada?
,KL
Jawapan:
Setiap kita yang datang ke masjid sunat mengerjakan solat sunat dua rakaat. Begitu juga ketika hari Jumaat, jika kita terlambat datang dan ketika itu khatib telah membaca khutbah maka kita juga disuruh mengerjakan solat sunat tahyatul masjid terlebih dahulu barulah kita duduk. Dasarnya adalah, pernah pada suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang membaca khutbah Jumaat, tiba-tiba ada seorang sahabat yang datang terlambat, kemudian ia langsung duduk. Ketika itu Rasulullah SAW menegurnya agar berdiri dan mengerjakan solat tahayatul masjid dua rakaat, maka sahabat itu pun melakukan perintah Rasulullah SAW tersebut.


Solat

buat pengetahuan ustaz ,saya sekarang tengah melanjutkan pelajaran di luar negara... masalah saya ialah berhubung dengan waktu kuliah saya pada semester ini yg menyebabkan saya tidak sempat mengerjakan ibadat solat fardu. Jadi soalan saya ialah adakah cara lain yg terbaik yg boleh saya lakukan bagi mengatasi masalah saya ni selain dari menqadakkan solat fardu itu.?

Solat itu perlu dikerjakan juga pada waktunya. Sila rujuk jawapan siri-siri terdahulu yang telah menjawab tentang persoalan ini.


Sutera Tiruan

Adakah haram bagi kaum lelaki memakai kain sutera tiruan?

Tidak. Memakai sutera tiruan tidak haram bagi lelaki kecuali dengan niat supaya orang menyangka bahawa ianya asli dan untuk bermegah-megah. Sila rujuk soalan dan jawapan dalam siri 2 terdahulu.


Syarat dan Bacaan Penyembelihan


Soalan:
Saya ingin bertanya berkaitan dengan penyembelihan
1) Syarat-syarat sah sembelihan.
2) Sembelihan kaum wanita.
3) Bacaan ketika sembelihan.
Yati, Melaka
Jawapan:
Syarat-syarat sah sembelihan telah disebutkan di dalam surah Al-Ma'idah iaitu hendaklah pihak yang menyembelih itu orang Islam ataupun ahli kitab. Sembelihan orang kafir dan murtad tidak sah dan tidak boleh dimakan. Alat sembelihan pula hendaklah tajam. Tidak boleh menggunakan kuku dan tulang binatang. Seterusnya urat halkum dan merikh binatang yang disembelih hendaklah dipastikan putus.
Berhubung sembelihan yang dilakukan oleh seseorang wanita hukumnya adalah sah. Begitu juga dengan sembelihan kanak-kanak yang sudahpun berakal, malah wanita yang sedang haid sah sembelihannya sebagaimana yang disebut di dalam kitab kifayatul Akhyar. Tidak ada bacaan khusus ketika menyembelih selain dari mengucapkan bismillah hirahmanir rahim atau menyebut Bismillah Allahu akbar. Sesudah sembelih mohonlah supaya Allah menganugerahkan kepadanya rezeki yang baik dan halal.

Sila rujuk buku Rumah Idaman Syurga Impian "Suami Teladan" DN036 , "Isteri Teladan" DN 037


Tali Leher Sutera

Saya bekerja disebuah syarikat swasta di KL. Pemakaian tali leher adalah dimestikan. Kemusykilan saya adalah, apa hukumnya memakai tali leher sutera semasa sembahyang ? Yang kedua, abang saya telah meninggal dunia. Apakah amalan yang saya boleh buat untuk membantu beliau dialam kubur ?

Jika sutera yang dipakai itu adala sutera asli, maka sembahyang itu tidak sah. Lihat jawapan diatas.

Doa dan sedekah adalah antara amalan yang boleh dibuat untuk di sampaikan pahala kepada yang sudah mati. Sedekah yang berupa kebajikan kepada masyarakat adalah diutamakan, seperti membina telaga untuk kegunaan awam dan diniatkan kepada simati, maka selagi orang menggunakannya, pahala tetap akan bertambah kepadanya.

Sabda Rasulallah: Terputus semua amalan anak adam dipintu kubur kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan (ibu bapanya).

Dari itu pilihlah yang mana antara tiga tersebut. Jika abang anda pernah mengajar anda sesuatu ilmu, maka ajarkanlah pula kepada orang lain supaya ianya dimanfaatkan. Sekiranya Allahyarham ada anak, maka didiklah supaya menjadi anak yang soleh. Dan sedekah sebagaimana yang tersebut diatas.
Allahua'lam.


Tarawih 20 atau 8?

Seorang kawan saya dengar ceramah menyatakan bahawa sembahyang sunat terawih adalah 20 rakaat bukan 8, adakah kah ini benar.

Menurut riwayat ahli hadith, Rasullullah bersembahyang tarawih sebanyak lapan rakaat bersama orang ramai di masjid pada malam ke 23, 25 dan 27. Setelah itu baginda tidak lagi berjamaah dalam tarawih kerana bimbang ianya menjadi wajid dikemudian hari. Ada sesetengah riwayat pula mengatakan setelah mereka selesai sembahyang di masjid, mereka menyambungnya dirumah pula untuk menjadi 20 rakaat. Pada zaman Sayyidina Omar, beliau telah mengumpulkan jemaah yang bersembahyang bertaburan sendirian di masjid untuk berjemaah dan mengerjakan 20 rakaat. Ketika itu tiada seorangpun sahabat yang membantah, maka di buat kesimpulan bahawa 20 rakaat itu tidak menjadi salah.

Jadi terpulanglah kepada individu untuk memilih samada untuk mendirikannya sebanyak 8 atau 20 rakaat kerana kedua-duanya dibolehkan. Dari segi logik akal memanglah 20 lebih baik, akan tetapi sekiranya dibuat secara tergopoh gapah, maka kesempurnaannya boleh dipersoalkan. Ketidak tepatan tajwid dalam solat boleh membawa kepada dosa.

Allahu'alam.


Terbawa Ayat Suci Ke Tandas
Soalan:
Bagaimana sekiranya seseorang terbawa ayat suci Al Quran bersama dengannya ke dalam tandas.
Apakah hukumnya?
. Safiron
Jawapan:
Sebagaimana kita maklumi bahawa Al-Quran adalah kitab suci, justeru itu orang Islam sangat menghormati dan memuliakan Al-Quran. Hampir tiap-tiap rumah orang Islam ada menyimpan kitab suci Al-Quran sama ada untuk
dibaca pada waktu-waktu tertentu ataupun sesuatu keperluan yang ada hubungannya dengan Al-Quran.
Al-Quran dibaca dan dibawa oleh setiap orang Islam di rumahnya, di masjid-masjid, di majlis-majlis ilmu dan sebagainya, kerana Al-Quran merupakan panji-panji Islam bagi orang yang membaca dan mengamalkannya.
Dalam hadis Rasulullah SAW dijelaskan:
"Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya". (Riwayat Bukhari dan Tirmizi)

Jadi tidak layaklah kitab suci Al-Quran di bawa ke tempat yang bernajis, jika dengan sengaja melakukannya maka kita berdosa, maka segerakanlah memohon keampunan Allah SWT. Namun jika tidak sengaja perkara tersebut dimaafkan, kerana ada keringanan bagi seseorang yang tidak berhasrat melakukan kesalahan. Namun segeralah keluar bila kita menyedarinya.


Terbuka aurat ketika sembahyang
Apakah batal sembahyang sekiranya kain telekung terselak hingga menampakkan jari kaki sedangkan ketika itu saya tinggal seorang diri dan tidak ada sesiapa pun yang melihatnya?

Batal. Kerana menutup aurat adalah antara syarat-syarat sah sembahyang. Sembahyang itu wajib dilakukan semula tanpa perlu membaharui wudhu'.


Terlewat Solat Subuh

Soalan:
Saya telah terlewat bangun untuk mengerjakan sembahyang subuh sehingga luput waktunya, bolehkah saya mengerjakan sembahyang subuh itu walaupun telah luput waktunya atau saya perlu mengqadanya bila waktu zuhur?
MS, Shah Alam
Jawapan:
Meninggalkan solat secara sengaja adalah berdosa. Ini kerana solat itu adalah tiang agama. Sesiapa yang menunaikannya bererti telah mendirikan agama dan sesiapa yang mencuaikannya bererti meruntuhkan agama. Namun begitu bagi orang yang tertinggal solat bukan dengan cara sengaja seperti bangun subuh lewat dari waktunya, maka yang terlibat tidak berdosa.
Bagaimanapun ia dikehendaki segera mengqada'kannya tanpa menunggu masuknya waktu zohor. Ini berdasarkan sebuah hadis yang sahih yang menjelaskan Allah SWT tidak mengambil kira amalan yang dilakukan oleh umat Muhammad yang dilakukan secara tersalah, terlupa atau terpaksa.

Sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Ibadah Solat DN 200 , Soal Jawab Ibadah Solat DN 176
Persoalan Solat & Penjelasannya DN 187


Tertidur Waktu Solat Subuh
Soalan:
Saya mendengar ada orang mengatakan kalau kita terlewat bangun waktu Subuh lalu waktu Syuruk telah lepas, kita boleh terus sembahyang Subuh tanpa perlu niat Qadha'. Betulkah Ustaz? Kalau boleh Ustaz tolong jelaskan?
Abdullah, KL
Jawapan:
Jika kita terlewat waktu subuh kerana tertidur, sedangkan waktu syuruk telah lepas ataupun matahari telah terbit, maka ketika terjaga tersebut segeralah mengerjakan solat Subuh. Tidak perlulah kita berniat qadha', sebab terlepas sesuatu hukuman tersebut lantaran bukan sengaja. Namun jika kita mengetahui telah masuknya waktu subuh tetapi kita meneruskan tidur, maka perkara ini jelas berdosa.


Tuntutan Bersedekah
Soalan:
Sebagaimana yang kita ketahui amalan bersedekah adalah dituntut di dalam Islam. Apakah hukumnya? dan boleh tak Ustaz perjelaskan kenyataan "Amalan bersedekah dapat mengeratkan perpaduan ummah".
Ana, Raub
Jawapan:
Hukum bersedekah dalam Islam adalah sunat sahaja. Walaupun begitu fadhilatnya sangat besar. Kerana itu tidak hairanlah Rasulullah SAW sangat-sangat menggalakkan umatnya supaya rajin bersedekah dan baginda sendiri sangat kuat bersedekah. Amalan bersedakah ini dapat menjadi amalan yang bermanfaat kepada tuannya setelah ia meninggal dunia nanti.
Bagaimanpun jika seseorang itu bernazar hendak melakukan sedekah kepada seseorang, maka wajib kepadanya melunaskan sedekahnya itu kepada individu yang dimaksudkan. Maksud sedekah dapat menguatkan perpaduan ummah ialah:

1. Dengan bersedekah akan menghilangkan rasa kurang senang golongan yang miskin terhadap golongan yang berharta dan kaya.

2. Bersedekah akan menimbulkan rasa kasih sayng sesama masyarakat Islam baik yang kaya mahupun yang miskin. Sifat dengki akan hilang.

3. Bersedekah akan mendatangkan keberkatan. Apabila datang keberkatan dan hilanglah kecelakaan.

4. Bersedekah dapat menghilangkan kesusahan yang dialami oleh orang-orang yang kesempitan. Ini ,menggambarkan wujudnya sifat saling membantu antara satu sama lain dalam masyarakat.

Keempat-empat faktor yang kita bincangkan ini menjadi faktor utama ke arah kekuatan perpaduan antara sesama masyarakat Islam. Apabila wujud perpaduan di peringkat masyarakat, ia akan membawa kepada perpaduan di
peringkat negara, dari peringkat ini ia akan bergerak ke peringkat ummah seluruhnya. Inilah yang dimaksudkan bersedekah menguatkan perpaduan ummah.


Upah / Gaji dari Sumber yang Dilarang
Soalan:
Saya adalah seorang guru peribadi yang sedang membimbing seorang pelajar yang beragama Hindu. Bapa kepada pelajar itu seringkali mendapat habuan dari berjudi. Sekiranya, keluarga itu membayar gaji saya dengan duit haram itu dan saya mengetahuinya, adakah gaji yang saya terima itu halal?
Mahadir, Singapura
Jawapan:
Pekerjaan mengajar merupakan pekerjaan yang mulia, apatah lagi yang kita ajar itu bukan beragama Islam. Mungkin sahaja dengan keperibadian kita yang mulia dan dakwah kita yang menarik dapat menyebabkan pelajar kita itu memeluk Islam, jika niat yang mulia ini kita semaikan dalam usaha kita, maka Insya Allah, kita akan dimudahkan oleh Allah SWT. Menerima upah atau gaji dari usaha kita yang baik (mengajar) tidaklah salah dan dibolehkan. Mengenai upah yang anda terima dari bapa palajar tersebut tidaklah berdosa kerana sumber rezeki mereka bukan dari judi semata, tapi ada juga dari sumber pekerjaannya yang lain, sedangkan judi itu merupakan kebiasaan buruk yang bersifat kadang-kadang yang dilakukan oleh bapa pelajar tersebut.
Jadi jelaslah jika berjudi itu sebagai hobi bukan pekerjaannya, maka kita boleh menerima gaji dari mereka. Anggaplah bahawa upah yang kita terima itu merupakan hasil pekerjaannya bukan dari hasil hobi judinya. Namun jika timbul was-was dalam diri anda adalah lebih baik anda mencari pekerjaan yang lain atau mengajar di tempat yang sudah pasti sumber pendapatannya dari pekerjaan yang halal.


Wanita Solat Tarawih di Masjid.
Soalan:
Adakah dibenarkan kita bertarawih sendirian di rumah? Sebabnya adalah kerana masjid sesak, masalah air sembahyang yang tidak tahan lama?
Fatimah Azzahra, KL
Jawapan:
Dibolehkan setiap individu mengerjakan solat tarawih di rumah dan tidak dikerjakan secara berjemaah kerana solat tarawih itu hukumnya sunat. Berjemaah yang kita lakukan itu kerana ingin mencari kelebihan pahala dalam berjemaah. Namun bagi seorang wanita solat di rumahnya lebih utama daripada solat berjamaah di masjid, sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: "Solat seorang perempuan di rumahnya lebih utama daripada ia solat di masjid".
Namun jika ingin menghadiri solat berjemaah di masjid boleh saja, asal saja tidak membawa kesukaran seperti berjumpa dengan ramai kaum lelaki di jalan atau orang jahat yang akan mengganggu dan sebagainya. Cukuplah seorang wanita itu ia solat berjemaah di rumah bersama-sama dengan perempuan lain serta dengan anak-anaknya. Yang bertidak sebagai imam berdiri di tengah-tengah saf, dan janganlah membaca dan bertakbir dengan suara yang keras atau lantang, cukup dengan perlahan dan seperlunya saja.

Untuk lebih jelas sila rujuk buku
Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN054
"Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH" DN148


Zakat pendapatan

Gaji pokok bulanan saya ialah RM2,500 dan gaji bersih (setelah ditolak pelbagai potongan gaji seperti pinjaman rumah dan kenderaan) ialah RM700 sebulan. Dengan wang sebanyak inilah saya gunakan untuk perbelanjaan harian menanggung isteri dan dua orang anak dan kadang-kadang saya terpaksa meminjam dari kawan-kawan untuk mencukupkan perbelanjaan saya. Saya tidak mempunyai simpanan kecuali di KWSP. Adakah saya masih diwajibkan membayar zakat ?
Sekiranya wajib, saya terpaksa meminjam lagi untuk menjelaskan zakat tersebut. Apa pandangan ustaz tenteng masalah saya ini?

Secara kasarnya anda tidaklah wajib membayar zakat. Tetapi sekiranya dilihat kepada panduan berzakat yang dikeluarkan oleh Pusat Zakat Selangor, panduan perbelanjaan yang dibenarkan adalah seperti berikut:

Perbelanjaan Diri Sendiri (RM 5,000 setahun)
Perbelanjaan Isteri (RM 3,000 setiap isteri setahun)
Perbelanjaan Anak (RM 800 setiap anak setahun)
Pemberian Wajib (Ibu bapa, nafkah - jumlah sebenar)
Lain-lain (KWSP, Tabung Haji dsb - jumlah sebenar)
Walaupun perbelanjaan tersebut hanyalah sebagai panduan tetapi boleh diambil sebagai purata perbelanjaan selesa rakyat Malaysia kelas sederhana. Mungkin ada perkara yang kita terlebih belanja, atau berbelanja melebihi kemampuan kita. Kita biasa lihat ada orang yang gajinya kurang dari satu ribu ringgit tetapi masih mampu menanggung anak yang ramai dan boleh pula menunaikan zakat (ramai kakitangan kerajaan dalam golongan ini). Dan kalau kita fikirkan apabila kita tidak pernah ingkar membayar cukai pendapatan yang diwajibkan oleh kerajaan tetapi tidak dapat membayar zakat yang diwajibkan oleh Allah sedangkan sekiranya kita berzakat, jumlah yang sama akan dikecualikan dari cukai.
Marilah kita sama-sama berusaha memperbaiki ekonomi kita untuk melengkapkan Islam kita dimana zakat adalah rukun Islam keempat. Berkat nya rezeki bergantung kepada cara kita mendapatkannya dan cara kita membelanjakannya. Berzakat itu mempunyai nikmat tersendiri jika dilakukan dengan ikhlas dan biasanya akan diganti oleh Allah dengan rezeki yang bertambah


Zakat

Penjelasan yang mengatakan bahawa wajip bayar zakat walaupun anda tidak berniaga. Saya memerlukan penjelasan.

Zakat pendapatan yang diwajibkan disetengah-setengah negeri adalah berpandukan kepada ijma' ulama' di negeri tersebut. Walaupun pendapatan itu diperolehi bukan dari perniagaan, tetapi pada dasarnya masih terdapat hak untuk ditunaikan zakat diatasnya sama seperti pendapatan dari hasil tanaman dan ternakan. Maka dengan itu negeri-negeri tersebut telah menetapkan satu nisab dimana sekiranya pendapatan seseorang itu setelah ditolak perbelanjaan asas, jumlahnya melebihi nisab, maka wajib keatas mereka mengeluarkan zakat sebanyak 2.5% dari jumlah yang lebih itu.

Sial berhubung dengan Jabatan Ugama dikawasan anda untuk mendapatkan nisab bagi tahun ini.

No comments: